626 kawasan kerap banjir dikenal pasti di Sabah

626 kawasan kerap banjir dikenal pasti di Sabah

JAUTEH Dikun (duduk-tengah) bersama wakil-wakil agensi yang terlibat dalam mesyuarat penyelarasan Pengurusan Bencana Negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah mengenal pasti sebanyak 626 kawasan kerap berlaku banjir di seluruh negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, Datuk Jauteh Dikun berkata, antara kawasan hospot yang diberi keutamaan adalah Beluran, Kinabatangan, Pitas dan Beaufort kerana itu antara kawasan yang kerap berlaku banjir.

Beliau berkata, seramai 3,000 anggota daripada pelbagai agensi sedia untuk digerakkan sekiranya berlaku bencana banjir semasa fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada November ini hingga Mac tahun depan.

Dari segi aset pula, ia bergantung kepada keperluan semasa namun, mereka telah menyediakan kira-kira 400 bot membabitkan aset pelbagai agensi yang boleh diguna pakai pada bila-bila masa.

Beliau berkata, berdasarkan mesyuarat penyelarasan yang diadakan hari ini, semua agensi telah bersedia untuk menghadapi bencana banjir dan tanah runtuh yang dijangka berlaku apabila hujan lebat turun secara berterusan.

“Justeru, saya menyeru kepada masyarakat terutama di kawasan hotspot agar memberi kerjasama dan sentiasa berwaspada dengan perkembangan cuaca semasa serta mendengar nasihat dan arahan daripada pihak berkuasa untuk mengelak berlaku sesuatu di luar jangka.

“Jangan lagi kita bersikap tradisional dengan menganggap (banjir) sudah menjadi satu kebiasaan apabila berlaku MTL.

“Saya minta kerjasama orang ramai agar dengar dan patuhi arahan daripada pihak berkuasa,” katanya semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Bencana Negeri Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Jauteh berkata, anggapan bahawa banjir adalah perkara biasa dan tiada apa-apa akan berlaku boleh mendatangkan kesukaran kepada pihak berkuasa apabila mengarahkan penduduk di kawasan berisiko untuk berpindah ke kawasan selamat.

Bagi pihak PDRM pula, seramai 1,076 anggota di seluruh Sabah dengan bantuan 1,401 aset sedia digerakkan bagi menghadapi banjir.

Mengulas lanjut katanya, sebanyak 345 pusat pemindahan sementara (PPS) berdaftar yang telah dikenal pasti dan ia mampu menampung sehingga 131,300 orang mangsa pada satu-satu masa.

Menurut beliau, antara agensi terlibat dalam pengurusan bencana itu termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengenai kemungkinan jika Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan semasa musim banjir, Jauteh berkata, pihaknya tidak berhadapan sebarang kekangan dari segi logistik mahupun kakitangan untuk menghadapi kedua-dua perkara tersebut.

Beliau berkata, sekiranya PRU diadakan dalam tempoh yang sama berlaku bencana banjir, PDRM mempunyai keanggotaan mencukupi untuk menangani keadaan itu.

Malah, mereka telah merancang berapa ramai anggota akan ditugaskan untuk menghadapi bencana banjir dan berapa ramai yang perlu digerakkan untuk menghadapi PRU. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya