Sebut sahaja Lahad Datu, perkara pertama yang terlintas di fikiran tentunya tragedi berdarah pencerobohan pengganas Sulu pada 2013.
Walaupun hampir sedekad berlalu, peristiwa hitam itu kekal segar dalam ingatan rakyat Malaysia hingga sedikit sebanyak mencetuskan kegerunan untuk orang ramai berkunjung ke lokasi berkenaan.
Persepsi negatif itu masih dikaitkan dengan Lahad Datu sedangkan bandar keempat terbesar selepas Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau itu memiliki 1,001 keunikan yang mungkin tidak dapat ditemukan di mana-mana tempat di Sabah.
Paling popular pastinya kawasan pemuliharaan Lembah Danum seluas 43,800 hektar yang merupakan syurga pencinta flora di samping menjadi habitat kepada badak sumbu Sumatera, gajah Asia, harimau dahan, monyet bangkatan, Orang Utan, ungka, kancil dan harimau bintang.
Lupakan seketika Lembah Danum kerana hakikatnya terdapat lebih 11 ‘permata tersembunyi’ yang boleh diteroka pengunjung sekali gus mampu merancakkan potensi pelancongan di Lahad Datu.
Destinasi kurang dikenali itu antara lain sarat dengan kisah sejarah, malah orang ramai turut berpeluang menyaksikan keindahan pulau serta terumbu karang, selain mencuba sajian makanan laut dan tradisi penduduk tempatan yang enak.
Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Ednie Rahma Ab. Rahim berkata, pelbagai program digerakkan bagi mempromosikan pelancongan di Lahad Datu, sekali gus memastikan lokasi itu menjadi pilihan ramai setanding Kota Kinabalu dan Kundasang.
Antaranya termasuk membawa kira-kira 20 pengamal media dalam siri jelajah ke pantai timur Sabah pada 20 hingga 24 September lalu.
1. Gua Tepadung
Gua Tepadung yang terletak di tebing Sungai Segama merupakan kawasan penempatan purba etnik Idahan dari zaman Paleolitik hingga Neolitik.
Difahamkan terdapat hampir 100 gua kecil di lokasi ini dengan masing-masing mempunyai keunikan tersendiri.
Setelah merentas hutan beberapa minit, pengunjung berpeluang melihat ratusan keranda kayu masyarakat purba yang masih tersimpan di Gua Tepadung.
Antara yang menjadi tumpuan ialah keranda panjang di Gua Samang Buat dan berdasarkan legenda, dua pemuda dikebumikan secara memanjang dalam keranda berkenaan selepas mereka ditemukan maut di dalam hutan akibat pertarungan kerana berebut cinta seorang gadis.
Di samping itu, Gua Tepadung juga merupakan pusat pengeluaran hasil sarang burung walit putih yang dijalankan oleh etnik Idahan hingga kini.
2. Terumbu lingkaran biru
Terumbu lingkaran biru atau blue ring reef di Teluk Darvel merupakan destinasi wajib dilawati peminat aktiviti snorkel dan selam skuba.
Tarikan utama di sini ialah struktur dua lubang biru yang masing-masing berkedalaman 15 dan 18 meter, sekali gus memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung.
Perjalanan ke terumbu lingkaran biru mengambil masa kira-kira 20 minit dari jeti Pantai Payang dan produk pelancongan ini difahamkan dalam proses pewartaan sebagai lokasi taman laut baharu di Sabah.
Sementara itu, pemilik Darvel Bay Diving, Dominic Monteroso berkata, pesona terumbu lingkaran biru mula memukau ramai sejak 2013 lagi dan mempunyai potensi pelancongan yang tersendiri.
3. Tapak peringatan gudang tembakau
Terletak di Segama, gudang yang dibina pada 1888 ini dahulunya merupakan antara pengeluar tembakau bermutu tinggi dunia selain yang terbesar di Borneo.
Lokasi ini merupakan pusat kegiatan ekonomi yang maju di Lahad Datu pada masa itu dengan dilengkapi pelbagai kemudahan awam seperti kereta api, hospital, sekolah, bank, balai polis dan lain-lain.
Gudang ini, bagaimanapun ditutup secara rasmi pada 1962 susulan persaingan dagangan dengan Amerika Syarikat dan negara-negara lain.
4. Bangkai kapal Jepun
Selepas terumbu lingkaran biru, pengunjung turut berpeluang melakukan aktiviti sama di kawasan bangkai kapal Jepun yang terletak berdekatan.
Bangkai kapal kargo sepanjang kira-kira 60 meter itu dipercayai tenggelam pada awal 1980-an.
5. Menara Kayangan
Menara Kayangan di Gunung Silam merupakan lokasi tertinggi di Lahad Datu yang menyajikan panorama indah Teluk Darvel dan pusat bandar.
Terletak di ketinggian 880 meter dari aras laut, pengunjung turut berpeluang melihat spesis flora dan fauna endemik antaranya ialah burung pacat dan ketam merah. Menara ini dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 4.30 petang.
6. Pantai Payang
Antara lokasi menarik yang boleh dilawati pelancong untuk melakukan aktiviti air dan memancing. Pantai Payang lazimnya sesak dengan orang ramai pada sebelah petang dan hujung minggu.
7. Syurga makanan laut
Selain Kota Kinabalu, Lahad Datu juga boleh dikategorikan sebagai syurga penggemar makanan laut.
Jangan lepaskan peluang menikmati pelbagai sajian ketam, udang dan ikan segar yang enak serta menyelerakan di restoran popular sekitar daerah ini. Uniknya, rata-rata menu di sini dimasak berkonsepkan ala Cina.
8. Batik ecoprint
Teknik batik ecoprint atau cetakan eko masih asing di negara ini dan bagi yang ingin mencuba boleh datang ke Alnisya Collection yang terletak di Kampung Tabanak.
Teknik ini berbeza dengan kaedah sedia ada kerana menggunakan daun atau bunga yang corak serta warnanya lebih mesra alam.
Pengalaman membuat batik ecoprint pasti lebih menyeronokkan apabila dibantu keluarga tersayang dan sahabat handai.
9. Irunji Agrotourism
Destinasi agropelancongan milik penduduk tempatan, Irunji Parija di Pulau Sakar ini mula dibuka sejak 2019. Selain memancing, pengunjung berpeluang mandi bersama ikan di samping berkayak dan melihat monyet merah.
10. Segama ATV Park
Bagi yang ingin mencuba aktiviti lasak, boleh meluangkan masa ke Segama ATV Park di Kampung Segama Lama. Produk pelancongan baharu ini turut menawarkan penginapan kepada pengunjung.
11. Melawat Kampung Segama Lama
Tidak lengkap kunjungan ke Lahad Datu tanpa melawat komuniti setempat, terutama di Kampung Segama Lama.
Pengunjung bukan sahaja dapat beramah mesra dengan penduduk, malah melihat persembahan tradisional di samping menikmati sajian istimewa yang menyelerakan seperti ikan patin masak ampap.










