PETALING JAYA: Seramai 100 usahawan muda dan selebriti menerima anugerah The 100 Most Influential Young Entrepreneurs (100 MIYE) menerusi pencapaian cemerlang dalam pelbagai industri.
Majlis anjuran Entreprenuers Insight itu meraikan semua penerima yang terdiri daripada pemain industri yang berjaya mencipta impak menerusi pelbagai saluran media selain mereka yang terbabit dalam perindustrian kecil dan sederhana (PKS).
Pengerusi penganjuran 100 MIYE, Datuk KK Chua berkata, proses pemilihan dibuat dengan ketat dan perlu menerusi tapisan rumit bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja menjadi penerima.
“Ada 3.2 juta usahawan PKS dan mereka yang terpilih hanya 0.03 peratus daripada jumlah tersebut kerana proses pemilihan dilaksanakan dengan ketat.
“Hanya mereka yang mempunyai sikap yang betul, keazaman dan kesungguhan dalam perniagaan yang diusahakan akan beroleh kejayaan,” katanya dalam kenyataan bersempena penganjuran 100 MIYE di Subang Skypark, Private Air Hanger baru- baru ini.
Terdahulu, anugerah ini pernah dimenangi penggiat seni dan selebriti terkenal tanah air antaranya, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Nicole David, Datuk Lee Chong Wei, Shila Amzah dan Fattah Amin.
Penganjuran tersebut adalah acara tahunan anjuran majalah Entrepreneur Insight dan ini adalah penganjuran kali ketujuh, bagaimanapun untuk tahun 2020 dan 2021, penganjuran 100 MIYE dilakukan secara maya.
Antara kriteria pencalonan anugerah tersebut adalah calon tersebut mesti berusia 45 tahun ke bawah, berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau Pengarah Urusan, berada dalam pengurusan syarikat minimum dua tahun dan memiliki kepentingan kawalan majoriti syarikat.
Syarikat mestilah mengusahakan perniagaan yang sah dan perolehan tahunan sebanyak RM3 juta dan ke atas. – UTUSAN










