Warisan pertaruh bekas ADUN UMNO di Kinabatangan

Warisan pertaruh bekas ADUN UMNO di Kinabatangan

DARELL LEIKING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Warisan akan mempertaruhkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan yang dijadualkan berlangsung pada 24 Januari ini.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pula, Warisan menamakan Mazliwati Abdul Malik sebagai calon parti itu.

Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, keputusan parti itu untuk bertanding dalam PRK berkenaan bukanlah satu bentuk penafian terhadap jasa dan sumbangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sepanjang perkhidmatannya sebagai wakil rakyat.

“Keputusan Warisan untuk bertanding bukan bermaksud kami tidak menghormati sumbangan dan khidmat Bung Moktar, dan sudah tentu bukan satu bentuk tidak hormat terhadap beliau atau keluarganya.

“Ia lahir daripada kepercayaan bahawa mandat rakyat perlu diteruskan dan tanggungjawab untuk mewakili rakyat hanya boleh dilaksanakan melalui proses yang sah serta berperlembagaan,” katanya ketika mengumumkan calon-calon parti itu.

Saddi merupakan bekas wakil rakyat UMNO yang pernah menjadi ADUN Bebas sebelum menyertai Warisan pada November lalu.

Beliau juga pernah menganggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) sebelum ini.

Dalam PRK Parlimen Kinabatangan, Saddi akan berdepan calon Barisan Nasional (BN), Naim Moktar Radin, anak kepada Allahyarham Bung Moktar Radin yang meninggal dunia pada 5 Disember lalu.

Sementara itu, Mazliwati dijangka berdepan bekas calon Bebas Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Mohd. Ismail Ayob bagi kerusi DUN Lamag. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN