REMBAU: “Dia selalu memberitahu ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, dia juga mahu belajar bersungguh-sungguh sampai dapat anugerah dekan”
Itu kata Ayu Zana Zahari, 45, ibu kepada Nur Ain Zulaisya Zahrain, 19, salah seorang daripada dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau yang maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabas di Jalan Chengkau-Panchang-Lubok China di sini petang semalam.
Ayu Zana berkata, dia menerima panggilan telefon pada pukul 4.53 petang daripada orang awam yang memberitahu anak itu terlibat dalam kemalangan jalan raya.
“Malam sebelumnya kami sempat berhubung melalui panggilan video. Allahyarham cuma beritahu kawannya menyewa motosikal kerana ada urusan kerja. Dia tidak beritahu hendak mana,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Rembau di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Hasani Hussain berkata, kemalangan itu turut mengorbankan seorang lagi pelajar universiti tersebut Ismawanie Husna Ismail, 19,.
Katanya, siasatan awal mendapati kedua-kedua mangsa dalam perjalanan dari arah UiTM Rembau menghala ke pekan Lubok Cina sebelum motosikal ditunggang tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui selekoh jalan.
“Akibat kejadian itu, motosikal terbabit terbabas ke kiri jalan lalu melanggar besi penghadang.
Susulan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, ibu kepada Allahyarham Ismawanie Husna, Rusfalisa Alias, 47, berkata dia menerima panggilan daripada pihak polis pada waktu Asar yang memaklumkan anaknya terlibat kemalangan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya yang merupakan pelajar Diploma Pengurusan Maklumat itu adalah pada minggu lalu ketika menghantar anaknya itu pulang ke kampus selepas cuti.
Jenazah Nur Ain Zulaisya Zahrain akan dikebumikan di Tanah Perkuburan 3C Manjung, Perak manakala jenazah Ismawanie Husna akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini. – UTUSAN









