Warga emas maut dihempap dahan, tertusuk parang - Utusan Malaysia

Warga emas maut dihempap dahan, tertusuk parang

DAHAN pokok mangga yang menghempap Yap Ah Keo (kiri) dalam kejadian di Kampung Paya Rumput, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Niat seorang warga emas ingin menebang pokok mangga di hadapan rumahnya bertukar tragedi selepas dia dihempap dahan pokok berkenaan, lalu maut terjatuh terkena parang miliknya sendiri.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi semalam, mangsa, Yap Ah Keo, 64, dikatakan rebah dan meninggal dunia ketika berjalan masuk ke rumahnya di Kampung Paya Rumput di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden pada pukul 11.15 pagi daripada anak lelaki mangsa.

“Setiba di lokasi, polis mendapati seorang lelaki warga emas terbaring di hadapan rumah dalam keadaan berlumuran darah.

“Soal siasat ke atas isteri mangsa berusia 66 tahun memaklumkan, semasa suaminya menebang pokok tiba-tiba dahan pokok tersebut menghempap si mati dan warga emas itu terjatuh lalu terkena parang digunakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Christopher, pokok itu berketinggian kira-kira 2.1 meter dan sebelum kejadian, si mati menggunakan tangga untuk memanjatnya bagi memotong dahan.

Jelasnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun polis mengeluarkan Pol 61 (bedah siasat) untuk mengetahui sebab-sebab kematian.

“Selepas terjatuh si mati masih boleh bangun dan menyedari rusuk sebelah kanannya berdarah akibat terkena parang.

“Dia terus memanggil isterinya dan pergi ke paip air di hadapan rumah untuk mencuci luka. Selepas itu si mati berjalan hendak masuk rumah, bagaimanapun selepas lima langkah dia tiba-tiba rebah dan disahkan meninggal dunia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya