Pemuda Pas Perlis dakwa wujud SD, Armada Bersatu minta kemuka bukti - Utusan Malaysia

Pemuda Pas Perlis dakwa wujud SD, Armada Bersatu minta kemuka bukti

HAZIQ ASYRAF DUN (kiri) dan MUHAMMAD FADZIL NOR ABD. RAHMAN (kanan).-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sayap parti Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri terus berbalas serangan berhubung isu kewujudan atau sebaliknya akuan bersumpah (SD) dalam kemelut bekas Menteri Besar yang kembali dibangkitkan.

Pemuda Pas negeri kekal dengan pendirian dan percaya wujud penglibatan wakil rakyat dari Bersatu dalam usaha merancang menjatuhkan Mohd. Shukri Ramli.

Manakala Armada Bersatu Kangar pula tampil menggesa Pemuda Pas Perlis agar tampil mengemukakan bukti yang mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu terlibat dengan kewujudan SD tersebut.

Ketua Pemuda Pas negeri, Haziq Asyraf Dun berkata, berdasarkan pertemuan antara Ahli Jawatankuasa (AJK) Harian Pas Pusat bersama kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu pada 21 Disember tahun lalu mengesahkan tiga bekas ADUN Pas telah mengakui mengenai kewujudan SD tersebut.

Katanya, berikutan itu, Pas berpegang teguh kepada pengakuan dibuat oleh tiga wakil rakyat tersebut berhubung kewujudan SD berkenaan.

“Kita lihat bila tiga ADUN terlibat mengakui tentang SD itu dan ditandatangani oleh mereka, jadi itulah yang menjadi bukti (kewujudan SD). Dan kita berpegang kepada pengakuan yang dibuat tiga ADUN Pas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Armada Kangar, Muhammad Fadzil Nor Abd Manan pula menyifatkan tuduhan itu adalah kitar semula, sama sekali tidak berasas.

Katanya, kenyataan Haziq Asyraf hanyalah berkisar kepada perkara berulang yang sudah dijawab dan dinafikan secara rasmi kepimpinan Bersatu sebelum ini.

“Kami berpandangan bahawa isu yang terus dimainkan ini sewajarnya disertakan dengan bukti yang jelas dan boleh disahkan. Jika benar wujud SD seperti yang didakwa, maka rakyat berhak mengetahui fakta sebenar dan bukti tersebut hendaklah dikemukakan kepada pihak yang berwajib serta diperlihatkan kepada umum.

“Tuduhan berulang tanpa bukti yang boleh diteliti hanya akan menimbulkan pelbagai spekulasi serta mengheret rakyat ke dalam polemik politik tidak berkesudahan. Dalam soal melibatkan integriti dan kestabilan kerajaan negeri, fakta hendaklah mengatasi persepsi,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Fadzil turut mengingatkan semua pihak supaya menjunjung serta menghormati titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail semasa Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang menegaskan bahawa ‘ini kerajaan beta’.

Katanya, titah itu jelas membawa mesej bahawa kerajaan negeri yang telah diperkenankan hendaklah diberikan ruang mentadbir dengan baik sehingga tamat penggalnya.

“Semua pihak perlu meletakkan kepentingan rakyat dan kestabilan negeri mengatasi kepentingan politik sempit. Polemik politik yang berpanjangan wajar dihentikan dan segala perbezaan pendapat perlu diselesaikan melalui saluran matang, berhemah serta menghormati institusi Raja Berperlembagaan, “ katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN