SERI KEMBANGAN: Seramai 70 penghuni BRDB Rotary Children’s Residence menerima manfaat menerusi program khidmat komuniti Jiwa Putra@KTMB: Sang Sihat yang dianjurkan oleh pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran berkaitan penjagaan kesihatan fizikal dan mental dalam kalangan kanak-kanak terabai, di samping memupuk semangat kesukarelawanan, empati dan tanggungjawab sosial dalam diri pelajar universiti.
Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2025/2026, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Pusat Kesihatan Universiti UPM, Jabatan Dietetik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM serta BRDB Rotary Children’s Residence.
Pengerusi Eksekutif BRDB Rotary Children’s Residence, Datuk Chan Kam Fatt berkata, program seumpama itu penting dalam memastikan kanak-kanak terus menerima perhatian, sokongan dan peluang pembangunan yang positif daripada masyarakat.
“Program ini membuktikan kerjasama antara universiti, organisasi dan komuniti mampu memberi impak bermakna kepada pembangunan dan kesejahteraan kanak-kanak. Mereka berhak mendapat peluang yang sama untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program, Pek Yoke Lan berkata, penganjuran program tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada kanak-kanak disini, malah membuka ruang kepada pelajar UPM untuk memahami nilai kemanusiaan dan kepentingan khidmat masyarakat secara lebih dekat.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk turun padang serta mengaplikasikan ilmu dan kemahiran dalam komuniti. Pada masa sama, ia mendidik mahasiswa supaya lebih prihatin, berempati dan menghargai kepentingan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program termasuk sesi perkongsian kesihatan dan pemakanan, aktiviti motivasi, sokongan psikologi serta aktiviti interaktif bersama kanak-kanak.
Ketua Jabatan Perkhidmatan Sosial dan Komuniti HSAAS UPM, Rafidah Sadarudin berkata, sokongan komuniti memainkan peranan penting dalam membantu perkembangan emosi dan sosial kanak-kanak.
“Kanak-kanak memerlukan sokongan berterusan daripada masyarakat bagi membantu mereka membina keyakinan diri dan menjalani kehidupan yang lebih positif. Program seperti ini juga mampu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental dan fizikal dalam kalangan komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 20 pelajar KTMB UPM terlibat sebagai ahli jawatankuasa pelaksana program, sekali gus mencerminkan komitmen UPM dalam melahirkan graduan holistik yang aktif menyumbang kepada masyarakat dan pembangunan komuniti.-UTUSAN










