KANGAR: Kerajaan negeri bakal membangunkan projek pelancongan baharu dikenali sebagai Royal Nakawan dengan membabitkan pembinaan sistem kereta kabel sejauh 26 kilometer.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, pembinaan laluan kereta kabel tersebut dirancang merentasi Banjaran Nakawan yang bermula dari kawasan Kaki Bukit, Padang Besar sehingga ke Kuala Perlis, di sini.
Beliau berkata, projek berimpak tinggi itu dicadangkan bagi menggantikan projek kereta kabel Bukit Chabang yang sebelum ini tidak dapat diteruskan atas faktor keselamatan berikutan struktur tanah batu kapur tidak kukuh.
“Kerajaan negeri akan tubuhkan satu Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Royal Nakawan terlebih dahulu bersama Jabatan Perhutanan. Menerusi projek kereta kabel sejauh 26 kilometer ini, kita akan wujudkan satu jaringan yang menghubungkan antara Perlis, Langkawi dan Satun, Thailand,” katanya ketika ditemui selepas selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Abu Bakar berkata,terdapat beberapa lokasi menarik termasuk gua di sepanjang Banjaran Nakawan yang masih belum diterokai dan pelaksanaan projek itu juga merupakan pembaharuan buat industri pelancongan negeri.
Beliau berkata, pihaknya juga menyasarkan majlis pelancaran projek Royal Nakawan itu akan dilaksanakan pada bulan Oktober tahun ini.
“Perlis bakal mengorak langkah sebagai destinasi tarikan baharu yang akan mendapat sambutan di Malaysia,”katanya.
Mengulas mengenai hasil pertemuannya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, Abu Bakar berkata, kerajaan negeri telah menerima peruntukan sebanyak RM4 juta menerusi perbincangan tersebut.
Katanya, dari jumlah itu, sejumlah RM1.5 juta diagihkan buat sumbangan Aidilfitri, RM1 juta untuk sambutan Jubli Perak, RM1 juta pula disalurkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk projek menaik taraf Dataran Lok 9, Kuala Perlis dan baki RM500,000 lagi adalah bagi bantuan kerajaan negeri.
“Selain itu, banyak projek infrastruktur dan tebatan banjir yang dimohon oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan. Ini membuktikan apabila kita pergi berjumpa kerajaan pusat, kita mendapat kerjasama yang baik,” katanya.-UTUSAN










