Bubar DUN Negeri Sembilan strategi elak gelombang Johor

Bubar DUN Negeri Sembilan strategi elak gelombang Johor

AZMI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dilihat sebagai strategi awal bagi mengelakkan Barisan Nasional (BN) memanfaatkan keputusan di Johor untuk mempengaruhi sentimen pengundi di negeri itu.

Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, keputusan pembubaran yang dibuat dalam keadaan agak tergesa-gesa itu turut mencerminkan wujud pertimbangan strategi politik tertentu, termasuk usaha menyelaras tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) bersama negeri Johor melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, harapan tersebut adalah supaya PRN dapat diadakan secara serentak, sekali gus mengekang penggunaan faktor kemenangan atau prestasi di Johor sebagai modal politik yang boleh memberi kelebihan kepada UMNO dan BN di Negeri Sembilan.

“Harapannya supaya pilihan raya negeri dapat diadakan bersama, sekali gus mengelakkan BN menggunakan keputusan di Johor sebagai kelebihan untuk mempengaruhi sentimen di Negeri Sembilan.

“Perkembangan politik di Johor dilihat menjadi antara faktor utama yang memberi tekanan kepada Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan, sekali gus mempengaruhi dinamika semasa pembubaran DUN negeri berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai penyelesaian terbaik kepada kemelut politik yang melanda negeri itu.

Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali pula berkata, persaingan utama di Negeri Sembilan akan lebih tertumpu antara PH dan BN.

Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) berdepan kesukaran untuk menembusi dominasi pengaruh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Berdasarkan rekod Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan PRN 2023, PH kekal sebagai blok yang mempunyai kekuatan konsisten di negeri berkenaan, manakala BN pula masih mengekalkan pengaruh signifikan terutama melalui jentera akar umbi.

“PH berjaya membentuk kerajaan negeri selepas PRU 2018 sebelum bekerjasama dengan BN pada PRN 2023, yang menyaksikan PH muncul sebagai komponen dominan dengan 17 kerusi berbanding BN sebanyak 14 kerusi.

“PN berdepan cabaran tersendiri apabila hubungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dilihat tidak begitu stabil ketika ini. Sekiranya kedua-dua parti memilih untuk bergerak secara berasingan atau gagal mencapai persefahaman yang kukuh, terdapat kemungkinan undi atas pagar akan beralih kepada sama ada PH atau BN.

“Justeru, saya melihat persaingan utama di Negeri Sembilan akan lebih tertumpu antara PH dan BN. Dalam keadaan semasa, PH dilihat mempunyai sedikit kelebihan untuk memenangi lebih banyak kerusi dan mengekalkan penguasaan dalam kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN