KANGAR: Sejumlah 46 permohonan pemberimilikan tanah individu dan 102 permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) telah diluluskan kerajaan negeri pada tahun ini.
Selain itu, dianggarkan sebanyak 60 permohonan lagi akan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menjelang suku tahun kedua tahun ini.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, sepanjang pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini, sebanyak 696 permohonan pemberimilikan tanah dan 547 LPS telah diluluskan buat rakyat negeri ini.
“Perkara ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen berterusan kerajaan negeri melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian negeri demi kepentingan rakyat.
“Justeru itu, pelbagai langkah penambahbaikan turut dilaksanakan bagi memastikan urusan tanah dapat diurus dengan lebih cekap, telus dan sistematik.
“Ini termasuk mempercepatkan proses permohonan, memperkemaskan pengurusan rekod tanah dan memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan berkaitan tanah,” katanya pada Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik Tanah Surat Kelulusan LPS Tahun 2026 di Dewan Serbaguna, Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 33 penerima telah mendapat surat kelulusan masing-masing terdiri daripada 15 penerima dokumen hak milik dan 18 penerima surat kelulusan LPS.
Abu Bakar berkata, pihaknya berharap pemilikan yang diperoleh itu dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi meningkatkan taraf kehidupan dan kesejahteraan keluarga.
Katanya, pemilikan tanah yang sah bukan sahaja memberi jaminan keselamatan terhadap aset yang dimiliki, malah membuka peluang kepada pemilik untuk merancang pembangunan hartanah, menjalankan aktiviti ekonomi serta menjadikan tanah sebagai aset bernilai untuk generasi akan datang.
“Bagi penerima Surat Kelulusan LPS pula, saya berharap kemudahan diberikan oleh kerajaan negeri ini dapat dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab. Kelulusan LPS bukanlah satu bentuk pemilikan kekal, namun ia merupakan peluang kepada rakyat untuk menggunakan tanah secara sah dan teratur berdasarkan syarat-syarat ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, pemilik turut diingatkan supaya menunaikan tanggungjawab mereka untuk menjelaskan cukai tanah setiap tahun mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Pembayaran cukai tanah merupakan satu tanggungjawab penting sebagai pemilik berdaftar dan hasil kutipan tersebut akan digunakan semula oleh kerajaan negeri bagi tujuan pembangunan serta penyediaan kemudahan kepada rakyat,” katanya.-UTUSAN










