Warga Bangladesh tidak mengaku salah hasil, miliki bahan pornografi kanak-kanak - Utusan Malaysia

Warga Bangladesh tidak mengaku salah hasil, miliki bahan pornografi kanak-kanak

ZOBAIDUL Amin (tengah) tiba di Kompleks Mahkamah Seremban di Seremban 2, Seremban hari ini bagi didakwa atas 12 pertuduhan menghasilkan dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki warga Bangladesh yang merupakan pelajar perubatan di sebuah universiti swasta di ibu negara mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan menghasilkan dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak.

Zobaidul Amin, 24, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dalam bahasa Inggeris dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.

Bagi lapan pertuduhan di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, tertuduh didakwa mengarah atau menghasilkan suatu pembuatan pornografi kanak-kanak dalam bentuk gambar dan video menggunakan perkhidmatan aplikasi Snapchat.

Bagi empat pertuduhan seterusnya, Zobaidul didakwa di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 iaitu mempunyai dalam milikan suatu bahan pornografi kanak-kanak iaitu sebanyak 740 imej digital di dalam telefon bimbit, pemacu USB dan cakera keras.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Bukit Rasah di sini antara tarikh 26 Oktober 2021 sehingga 19 September lalu.

Ketika berhujah, pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria memohon mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana kesalahan dilakukan itu adalah serius.

Menurutnya, sekiranya ikat jamin diberikan, tertuduh dibimbangi akan meneruskan aktiviti mengarahkan penghasilan pornografi kanak-kanak dan mengganggu mangsa kanak-kanak secara dalam talian.

Peguam yang mewakili tertuduh, Harvindar Singh pula memohon jaminan diberikan kerana anak guamnya itu kerana kesalahan di bawah akta berkenaan boleh diberikan jaminan.

Hakim, Datin Surita Budin kemudian menetapkan jaminan diberikan kepada tertuduh iaitu sebanyak RM96,000 iaitu RM8,000 bagi setiap pertuduhan dari dua orang penjamin dalam kalangan warganegara Malaysia.

Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan yang lain.

Tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 30 November hadapan.

Hari ini, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin dalam kenyataan berkata, polis menahan seorang pelajar antarabangsa pada Isnin lepas kerana disyaki memiliki bahan pornografi kanak-kanak.

Pemeriksaan polis turut menemukan sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak dalam komputer riba dan telefon bimbit milik suspek lelaki berusia 24 tahun itu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek telah menggunakan aplikasi media sosial untuk berkomunikasi dan memerangkap mangsa serta melakukan ugutan (sextortion) bagi mendapatkan bahan berunsur seksual daripada mangsa yang terdiri dari kanak-kanak luar negara.

Penahanan suspek yang menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi itu merupakan hasil kerjasama antara PDRM dengan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya