KUALA LUMPUR: Setelah menyepi dua tahun akibat pandemik Covid-19, semalam Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) kembali menganjurkan kejohanan Media Golf Day bertempat di kelab golf tersebut di Kuala Lumpur.
Kejohanan mesra media ini yang memasuki edisi kelima disertai hampir 30 pemain terdiri daripada komiti kelab RSGC, wakil-wakil pelbagai pertubuhan media cetak, elektronik dan portal online (dalam talian) tempatan.

Menurut Konvenor Perhubungan Awam, Komunikasi dan Acara, Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC), Datuk Yasmin Yusuff, kejohanan itu akan terus diadakan pada tahun-tahun akan datang sebagai penghargaan kepada media yang banyak membantu RSGC selain mengeratkan silaturahim.
“Terima kasih kepada semua pemain media yang hadir menyertai kejohanan kali ini setelah dua tahun tidak diadakan akibat pandemik Covid-19,” katanya ketika berucap sebelum majlis penyampaian hadiah di RSGC, di sini semalam.

RSGC juga dijangka bakal menjadi lokasi bagi kejohanan Ladies Amateurs Open dan Junior Amateurs Open yang dijangka berlangsung tahun depan.
Dalam pertandingan kali ini yang menggunakan format System 36 Stableford, wakil media dari Golf Matters, Tham Soot Yuet muncul juara selepas berjaya mengumpul 37 mata.
Tempat kedua menjadi milik Mahathir Mohamad Sidi dari Media Prima juga dengan skor 37 mata, manakala tempat ketiga dirangkul pemain dari Bogeyfree Entertainment, Mohd. Fareez Ramli dengan 36 mata.
Selain pemenang utama, kejohanan Media Golf Day kali ini juga turut menawarkan hadiah Novelty seperti Nearest to the Pin dan Nearest to the Line, selain cabutan bertuah. – UTUSAN










