ALOR GAJAH: Bagaikan mimpi ngeri, itu sahaja yang mampu diluahkan oleh empat beranak yang kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiami musnah dalam kebakaran di Taman Angkasa Nuri di sini, awal pagi Selasa lalu.
Turut musnah adalah empat kenderaan termasuk sebuah kereta mewah hangus terbakar.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, mangsa, Liliwati Kaharudin, 50, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.40 pagi ketika dia dan anak perempuan berusia 15 tahun sedang tidur, manakala dua lagi anaknya masih berjaga.
Katanya, kebakaran itu disedari anak perempuannya yang berusia 20 tahun selepas terbau asap dan mendapati api mula marak dari bahagian belakang pendingin hawa di tingkat bawah.
“Anak terus menjerit, katanya ada api, saya yang tidur di tingkat bawah terjaga dan keluar memeriksa keadaan.
“Anak sulung berusia 23 tahun pula menjerit memanggil adik bongsunya yang sedang tidur di bilik atas dan kami empat beranak berlari menyelamatkan diri sebelum api semakin marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambah Liliwati, nahas turut memusnahkan empat kenderaan milik keluarganya iaitu kereta jenis Honda Civic, BMW, Honda HRV dan motosikal Yamaha NVX 155.
“Jiran-jiran cuba membantu memadam kebakaran, namun tidak berjaya kerana bahagian bawah rumah telah terbakar hampir 80 peratus.
“Saya cuba nak selamatkan sebuah daripada kereta sebelum api marak ke bahagian hadapan, namun tingkap kenderaan itu tiba-tiba meletup membuatkan saya jadi takut dan membatalkan hasrat,” jelasnya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zahrul Azha Mokthar ketika dihubungi berkata, panggilan kecemasan diterima pukul 1.45 pagi dan 10 anggota dikejarkan ke lokasi. – UTUSAN










