ALOR SETAR: Keghairahan rakyat Malaysia memilih untuk bercuti di Thailand boleh menjejaskan industri pelancongan negara termasuk di Langkawi apabila kedatangan ke pulau peranginan itu semakin menyusut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir, maklumat awal yang diperolehnya mendapati kedatangan pelancong terutama penduduk tempatan menurun sehingga 48.9 peratus sepanjang cuti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
“Ini adalah perbandingan antara 2019 dan 2022 dalam tempoh sama iaitu dari 16 Ogos sehingga 16 September mengambil kira cuti waktu puncak iaitu Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Pendapatan daripada pelancongan Langkawi jatuh sehingga 48.9 peratus dengan anggaran kerugian sekitar RM5.7 juta apabila 60 peratus penduduk Malaysia memilih untuk bercuti ke Thailand,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Katanya, kadar tempahan hotel di pulau berkenaan juga menurun sehingga 45 peratus pada cuti umum Hari Malaysia, Jumaat lepas walaupun ia merupakan cuti hujung minggu berganda.
“Hotel yang penuh cuma di Pantai Cenang, kawasan lain termasuk Kuah mengalami kejatuhan,” katanya.
Zainudin tidak menafikan pelbagai isu berkaitan termasuk masalah feri menyumbang kepada penurunan kedatangan pelancong ke Langkawi ketika ini.
“Sektor pelancongan Thailand sangat bersatu dan gigih mempromosikan produk masing-masing. Walaupun nilai ringgit kita jatuh teruk, Thailand dilihat bertolak ansur dengan rakyat kita kerana nilai baht mereka lebih rendah di sana berbanding di sini. Ini adalah salah satu cara mereka tarik pelancong, jadi bukan sesuatu yang menghairankan jika rakyat kita berpusu-pusu ke sana,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya berharap agar kerajaan termasuk kementerian dan agensi terlibat dalam pelancongan melaksanakan pelbagai rangka promosi untuk mengembalikan kecemerlangan Langkawi.
“Sempena Bajet 2023 ini kita juga berharap kerajaan akan memperuntukkan insentif kepada pengusaha hotel untuk kami melakukan promosi. Kepada pengusaha hotel dan mereka yang terlibat dalam industri ini saya juga menyeru agar semua pihak jangan bersifat tamak dan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga sesuka hati.
“Saya tahu tindakan segelintir mereka ini yang memburukkan nama Langkawi. Kita hendaklah mempamerkan keramahan dan keikhlasan kita seperti penggiat pelancongan di Thailand. Saya percaya orang kita suka ke Thailand sebab barang di sana murah termasuk makan minum,” katanya.
Akhbar ini melaporkan trend bercuti ke luar negara termasuk Thailand menyaksikan lebih banyak aliran keluar mata wang Malaysia sekali gus dikhuatiri memberi kesan buruk dalam jangka masa panjang. – UTUSAN










