fbpx

Trend bercuti ke Thailand, luar negara jejas nilai ringgit

SETIAP kali cuti umum, pos sempadan Imigresen Malaysia-Thailand sesak dengan rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke Thailand. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

PETALING JAYA: Trend bercuti ke luar negara menyaksikan lebih banyak aliran keluar mata wang ringgit Malaysia (RM) dibimbangi memberi kesan buruk dalam jangka masa panjang.

Hal itu didorong apabila ramai rakyat Malaysia kini mengambil kesempatan bercuti ke Thailand berbanding memanfaatkan masa yang ada untuk sektor pelancongan domestik di negara ini.

Dalam keadaan nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$), ini bukanlah satu petanda baik selain 100 baht kini hanya bernilai RM12.32, semakin rendah.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, keadaan itu tidak baik untuk ekonomi negara jika proses pengaliran mata wang ke luar negara terus berlaku tanpa ada usaha menyeimbangkan antara kedua-dua aliran tunai berkenaan.

Meskipun tidak menyatakan nilai kerugian atau peratusan tertentu, beliau bagaimanapun berpendapat ia tetap ‘tidak sihat’ dan perlu langkah-langkah awal bagi mengatasinya.

“Pilihan ada di tangan masing-masing, tetapi, dari sudut ekonomi kita yang akan rugi kerana duit banyak mengalir keluar. Wang tunai sepatutnya ‘berkitar’ dalam negara dengan menggalakkan lebih banyak kegiatan pelancongan sekali gus meningkatkan ekonomi domestik.

“Aliran keluar masuk wang tunai mesti seimbang. Jadi, kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen bagi menggalakkan lebih ramai warga Thailand atau negara yang bersempadan melancong ke Malaysia seperti mana rakyat kita sendiri melancong ke luar negara,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kata Mohamad Idham, meskipun berlaku aliran keluar ringgit, Thailand disifatkan sebagai destinasi pelancongan yang ‘mampu’ bagi rakyat Malaysia berbanding negara-negara yang menggunakan mata wang AS$.

“Memang nilai baht lebih mahal berbanding ringgit, tetapi kita masih mampu menampung kos-kos penginapan, pengangkutan, makanan berbanding di Brunei dan Singapura. Selain itu, pertukaran mata wang ini secara tidak langsung mengukuhkan hubungan dua hala dengan Thailand melalui pelancongan,” katanya.

Akhbar ini melaporkan, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) dan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad Padang Besar sesak teruk berikutan orang ramai mengambil kesempatan sempena cuti Hari Malaysia kelmarin dan hujung minggu untuk ke Thailand.

Thailand dijangka menerima tujuh hingga 10 juta pelancong asing tahun ini selepas melonggarkan sekatan akibat pandemik Covid-19, manakala seramai 647,648 rakyat Malaysia direkodkan datang ke Thailand untuk lapan bulan pertama tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, trend tersebut menyebabkan ekonomi negara semakin tiris kerana pendapatan warga Malaysia berjumlah antara RM1,000 hingga RM4,000 tidak dibelanjakan dalam negara.

Justeru, beliau menyarankan supaya kerajaan menawarkan insentif melancong dalam negara menerusi Belanjawan 2023 seperti pelepasan cukai bagi menggalakkan warga Malaysia melancong di negara sendiri.

“Jika trend pengaliran keluar ringgit ini terus berlaku, keadaan akan semakin teruk dan ringgit menjadi lemah. Jika wang tidak dibelanjakan dalam negara, ekonomi negara semakin bocor.

“Kita tidak boleh menghalang orang lain daripada melancong ke luar negara, tetapi di sini kempen cuti-cuti Malaysia harus mainkan peranan, tetapi yang saya lihat kempennya senyap sahaja,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN