Tidak perlu garis panduan baharu

Tidak perlu garis panduan baharu

AMINUDDIN AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Garis panduan baharu tidak diperlukan bagi pemilihan penceramah untuk program motivasi anjuran sekolah kerana garis panduan kini sudah cukup baik. 

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, sekolah-sekolah di seluruh Malaysia sudah pun mengikut garis panduan yang disediakan tetapi berikutan keperluan semasa. 

“Sudah pasti guru-guru membuat tapisan yang terbaik untuk anak-anak murid mereka bagi memastikan mereka mendapat yang terbaik dan tiada siapa mempunyai niat untukmenjatuhkan maruah sekolah.

“Isu ini hanya berlaku di sebuah sekolah sahaja dibandingkan dengan 10 ribu sekolah di seluruh Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperincikan semula garis panduan pemilihan penceramah bagi sebarang program motivasi anjuran sekolah di seluruh negara. 

Ia susulan kes amang seksual yang dilaporkan baru-baru ini membabitkan seorang penceramah bebas dan murid sekolah.

Beliau berkata, garis panduan tidak perlu begitu komprehensif kerana ini akan menyekat kebebasan guru-guru serta melemahkan motivasi mereka. 

“Hanya sekadar mengingatkan semua sekolah untuk mengetatkan tapisan sudah cukup bagus bagi memastikan perkara ini tidak berulang.

“Lebih-lebih lagi, bukan salah sekolah atau Kementerian Pendidikan. Walaupun sudah disiasat latar belakang penceramah berkenaan, berkemungkinan terdapat rahsia yang tidak diketahui.,” katanya. 

Katanya, setiap program yang dilaksanakan sudah pasti mempunyai objektif tertentu untuk dicapai dan guru-guru akan mengusahakan untuk mendapat yang terbaik. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN