PUTRAJAYA: Pelakon, Bella Astillah, tiba di Mahkamah Persekutuan bagi memberi sokongan kepada tunangnya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang akan mendengar keputusan rayuan akhir berhubung sabitan dan hukuman kes penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, hadir pukul 7.55 pagi mengenakan baju kurung bercorak bunga berwarna kuning sempat melemparkan senyuman kepada pengamal media.
“Doakan,” katanya ketika ditanya mengenai harapannya terhadap prosiding hari ini.
Mahkamah Persekutuan akan menentukan sama ada Syed Saddiq bakal dibebaskan daripada sabitan atau kekal menjalani hukuman penjara atas pertuduhan pecah amanah.
Sekiranya rayuan akhir yang difailkan oleh Syed Saddiq ditolak, beliau akan terus dibawa ke penjara bagi menjalani hukuman selama tujuh tahun.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan, termasuk bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana pertubuhan itu berjumlah RM1 juta.
Saddiq turut didapati bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan harta bagi kepentingan sendiri membabitkan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.
Selain itu, Syed Saddiq juga didapati bersalah atas dua pertuduhan melibatkan aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing berjumlah RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram. -UTUSAN










