Jepun tidak akan putus ada berjuang- Moriyasu

Jepun tidak akan putus asa berjuang- Moriyasu

MORIYASU mengambil tanggungjawab atas kegagalan Jepun mara ke pusingan 16 Piala Dunia 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu, berkata pasukannya telah membuktikan mereka memiliki kemampuan untuk suatu hari nanti muncul juara Piala Dunia, meskipun tewas 1-2 kepada Brazil menerusi jaringan saat akhir, awal pagi tadi.

Jepun tersingkir pada pusingan 32 terbaik selepas mensia-siakan kelebihan 1-0 yang dimiliki pada separuh masa pertama, apabila Gabriel Martinelli menjaringkan gol kemenangan Brazil pada masa kecederaan di Houston.

Beberapa pemain Jepun dilihat menitiskan air mata sejurus tamat perlawanan.

Pasukan terbaik Asia itu masih belum pernah memenangi perlawanan peringkat kalah mati Piala Dunia, walaupun hadir ke Amerika Utara dengan status pencabar yang dijangka mampu melangkah jauh.

Moriyasu berkata, aksi sengit menentang juara dunia lima kali itu membuktikan Jepun semakin hampir untuk mencapai tahap tertinggi.

“Kekuatan pasukan kebangsaan sememangnya telah meningkat, malah dalam perlawanan persahabatan, kami berjaya menewaskan lawan yang sebelum ini tidak pernah kami kalahkan.

“Segala usaha yang dilakukan pemain jelas membawa kepada peningkatan pasukan kebangsaan, dan saya percaya ia telah mengubah kedudukan Jepun dalam landskap bola sepak dunia,” kata Moriyasu.

Untuk rekod, Moriyasu sebelum ini membimbing Jepun mencatat kemenangan dalam aksi persahabatan menentang Brazil dan England menjelang Piala Dunia.

Moriyasu, yang sejak awal lagi menyatakan hasrat untuk memenangi Piala Dunia kali ini, berkata, mereka sedar status sebagai pasukan bukan pilihan masih memberi peluang untuk mencipta kejutan.

“Kami tahu sebagai pasukan bukan pilihan, kami masih mempunyai peluang untuk muncul juara. Saya fikir kami mempamerkan aksi yang membuatkan orang berkata, ‘Jika mereka menang, siapa tahu apa yang mungkin berlaku?’

“Dengan persembahan seperti ini, orang ramai akan mengiktiraf bahawa kami benar-benar sedang meningkatkan tahap permainan kami.

“Malah mereka yang sebelum ini tidak begitu mengikuti bola sepak kini dapat melihat bahawa Jepun sedang berjuang untuk menjadi juara dunia, terus berkembang dan berani mencabar diri,” katanya.

Moriyasu, yang turut menyaksikan Jepun tersingkir pada pusingan pertama kalah mati di Piala Dunia Qatar empat tahun lalu menerusi penentuan sepakan penalti kepada Croatia, mengakui bertanggungjawab atas kegagalan kali ini.

“Kali ini kami gagal mencapai sasaran untuk menjadi juara dunia, dan sebagai jurulatih saya benar-benar berasa kesal.

“Saya merasakan kami mempunyai peluang. Dalam perlawanan ini kami bermain dengan keyakinan bahawa kami mampu menang, dan hakikatnya kami memang memperoleh beberapa peluang yang gagal disempurnakan.

“Sebab itu saya merasakan kelemahan terbesar adalah kemampuan saya sendiri sebagai jurulatih,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN