IPOH: Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal akan diberikan peranan besar di Bukit Gantang jika tidak dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana Syed Abu Hussin begitu banyak berjasa kepada penduduk di kawasan berkenaan.
“Saya percaya beliau begitu banyak berjasa kepada penduduk kawasan berkenaan dan kita akan pastikan kalau pun dicalonkan atau tidak, setiap pemimpin itu ada peranan besar yang boleh dimainkan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Karnival Sukan Moh Kome di Kampung Chandak, Tanjung Rambutan, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Faizal, setakat ini tiada perbincangan diadakan mengenai kedudukan Syed Abu Hussin sama ada dicalonkan di Bukit Gantang pada PRU15.
Beliau berkata, sebagai ahli parti, semua pihak perlu menerima apa jua keputusan parti.
“Saya amat yakin kepada Syed Abu Husin, beliau faham tentang perkara ini. Beliau sebenarnya ada banyak perkara yang boleh dilakukan untuk membantu parti terutama sekali sebagai calon dan kalaupun bukan sebagai calon, ada banyak perkara yang boleh lakukan untuk kepentingan parti, negara agama dan tanah air,” katanya.
Pada program di Bukit Gantang semalam, Syed Abu Husin menyatakan sama ada terpilih atau tidak sebagai calon, beliau tetap akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang pada PRU15.
Malah, Ahli Parlimen Bersatu itu turut mengumumkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong di bawah Parlimen Bukit Gantang.
Parlimen Bukit Gantang menjadi rebutan antara Pas dan Bersatu malah Pas secara terbuka menolak Syed Abu Hussin sebagai calon PN di Parlimen Bukit Gantang.
Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, sekiranya Syed Abu Hussin dicalonkan, Pas membawa perkara itu ke peringkat pimpinan parti dalam PN.
Katanya, Syed Abu Hussin yang menang PRU-14 atas tiket Barisan Nasional (BN) dan kemudian menyertai Bersatu tidak layak bertanding di kerusi itu kerana meninggalkan partinya. – UTUSAN










