PUTRAJAYA: Undang-undang (Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981) memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan proses pengundian di mana-mana pusat pengundian yang terpaksa ditutup akibat banjir dan dinaiki air.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, jika air naik semasa proses mengundi sedang berjalan, SPR boleh mengeluarkan keputusan menangguhkan pengundian kepada satu hari lain yang ditetapkan dan perlu diwartakan.
Serentak itu, kata beliau, SPR akan mengeluarkan arahan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Bahagian Pilihan Raya terlibat supaya mengarahkan semua Ketua Tempat Mengundi (KTM) mengambil tindakan memberhentikan pengundian.
Beliau seterusnya menjelaskan, peti undi yang sudah mengandungi kertas-kertas undi (oleh pengundi yang sempat mengundi), peti-peti undi berkenaan perlu dikunci mengikut tatacara kerja yang ditetapkan.
“Semua KTM dan petugas-petugas SPR di saluran-saluran Tempat Mengundi telah diberi latihan dan taklimat secukupnya untuk menjalankan tugas-tugas apabila berlaku keadaan banjir mengejut di pusat mengundi yang dinaiki air.
“Peti-peti undi yang dikunci dengan pelekat keselamatan mesti disaksikan oleh semua ejen calon atau ejen tempat mengundi supaya tidak timbul keraguan atau bantahan,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, peti-peti undi dari pengundian yang tertangguh itu akan dibuka oleh KTM pada hari pengundian baharu yang SPR tetapkan dengan disaksikan semua ejen calon yang bertanding.
Beliau bagaimanapun berkata, pengurusan dan pengendalian pilihan raya di musim hujan tidak memberi masalah kepada SPR.
Cuma, kata beliau, kesulitan dan masalah kepada pihak parti-parti politik dan para penyokong untuk berkumpul di luar kawasan pusat-pusat pengundian yang ditetapkan untuk menunjukkan sokongan.
Menurut beliau, SPR pernah menjalankan urusan pilihan raya dalam situasi musim hujan iaitu ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 (1999) yang mana Parlimen dibubarkan pada bulan Oktober dan hari pengundian pada November.
Bagaimanapun ketika itu sudah mula musim hujan di negeri-negeri Pantai timur tetapi tiada pusat mengundi yang dinaiki air.
Beliau malah berkeyakinan SPR tidak berhadapan masalah dari segi mengurus dan menjalankan proses pengundian di pusat-pusat mengundi asalkan tempat atau kawasan tidak banjir atau dinaiki air.
Jika air naik sekali pun sekiranya berlaku banjir, pusat-pusat mengundi terpaksa ditutup.
Berhubung kos menguruskan PRU ketika hujan atau banjir, beliau berkata, ia dijangka meningkat sedikit sekitar 10 peratus untuk seluruh negara jika terdapat pusat-pusat mengundi yang terpaksa ditutup.
Namun, katanya, jika pusat mengundi terpaksa ditutup dan proses pengundian di setiap saluran pengundian ditangguh, peningkatan kos melibatkan tambahan sedikit elaun kepada petugas dan persiapan untuk penyediaan proses pengundian baharu bagi menggantikan mana-mana pusat pengundian yang ditutup.
“Tambahan kos seperti keperluan untuk menyediakan payung-payung di setiap pintu masuk pusat mengundi, kos menyewa pengangkutan berat untuk membawa peralatan keluar dari kawasan banjir ke tempat selamat dan kos tambahan peruntukan elaun dan makanan kepada para petugas.
“Persediaan dan kos peralatan dan logistik lain tidak berubah seperti peti undi, kertas undi, borang-borang, pencil, pembaris, dakwat, bekalan makanan dan lain-lain semua tetap sama,” katanya.
Mengulas mengenai PRU15, Wan Ahmad berkata, jika Parlimen dibubarkan, SPR mempunyai 60 hari untuk menjalankan pilihan raya.
Jika bubar pada bulan depan, katanya, SPR perlu masa sekurang-kurangnya (paling singkat dan mencukupi) satu bulan untuk membuat segala persediaan di saat-saat akhir bermula dari pembubaran kepada hari mengundi.
“Bermakna jika Parlimen dibubarkan bila-bila masa dalam Oktober, SPR cukup masa untuk menjalankan proses-proses yang perlu bagi menjalankan pengundian dalam bulan November.
“Jika terlewat kepada Disember, akan berdepan musim banjir di kawasan-kawasan tertentu terutama Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak,” katanya. – UTUSAN










