Skim khairat kematian YGMB bantu ringankan beban keluarga ahli

Skim khairat kematian YGMB ringankan beban keluarga ahli

KETUA Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat (dua dari kanan) bersama Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Mohd. Yong Salleh (kiri) menyampaikan sumbangan manfaat keahlian YGMB kepada Zarini (tiga dari kiri) dan Norhashimah (penyakit kritikal) di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Maran, Pahang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Tiada siapa tahu saat kematian. Seorang guru yang kelihatan sihat dan sedang memberi ucapan di hadapan pelajar dan ibu bapa tiba-tiba terjatuh sebelum dibawa ke hospital dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Jun lalu.

Kematian Allahyarham Mohd. Fadzil Ismail, 56, yang merupakan bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Chedung Jaya di sini mengejutkan semua pihak termasuklah pelajar dan juga ibu bapa yang hadir pada majlis pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Allahyarham yang disahkan mengalami pendarahan di dalam kepala meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak termasuk dua yang masih lagi belajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Namun tindakan Allahyarham yang menjadi ahli dan menyertai skim Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sedikit sebanyak meringankan beban isteri dan anaknya yang menerima faedah khairat kematian sebanyak RM27,000.

Zarini Abdul Majid, 52, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan akan mendapat khairat kematian sumbangan YGMB kerana dia tidak pasti suaminya menyertai skim berkenaan.

“Saya dimaklumkan juga Allahyarham suami baharu sahaja menukar kepada Skim 18 daripada Skim 16 yang membolehkan saya menerima jumlah khairat kematian yang lebih banyak.

“Saya berterima kasih kepada YGMB dan sememangnya sumbangan ini amat diperlukan untuk saya dan anak-anak meneruskan kehidupan tanpa insan tersayang,” katanya selepas menerima sumbangan khairat kematian disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Mohd. Yong Salleh di Pejabat Pendidikan Daerah Maran, di sini hari ini.

Pada majlis itu juga, YGMB turut menyampaikan sumbangan penyakit kritikal kepada Pembantu Pengurusan Murid Sekolah Kebangsaan Merting Jerantut, Norhashimah Ibrahim yang menderita kanser rahim.

Zarini yang merupakan seorang guru dan turut menjadi ahli YGMB turut menerima sumbangan sebanyak RM1,000 kerana kematian suami.

Menurut Zarini, duit khairat kematian sumbangan YGMB berkenaan begitu cepat disampaikan sekali gus meringankan bebannya untuk menguruskan banyak perkara dalam meneruskan kehidupan seharian.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Maran, Ahmad Nahran Ishak berkata, pihaknya berterima kasih kepada YGMB atas sumbangan yang diberikan kepada pendidik dan waris mereka.

Ujarnya, pejabat pendidikan Maran akan menjalinkan kerjasama dan kolaborasi dengan YGMB termasuk dalam menggalakkan penyertaan guru dalam skim dilaksanakan yayasan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN