Siapa Datuk Bandar KL yang baharu?

Siapa Datuk Bandar KL yang baharu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Persoalan siapa Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu te­rus diperkatakan apabila pe­nyandangnya, Datuk Seri Mahadi Che Ngah mulai bersara Jumaat ini.

Tiga nama disebut-sebut mengisi jawatan itu antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Ruzain Idris; Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Sulaiman Mohamed dan bekas Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio Ekonomi) DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff.

Walaupun nama Sulaiman berkemungkinan mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Mahadi, Ruzain turut disebut untuk jawatan nombor satu DBKL itu.

Portfolio Datuk Bandar Raya Kuala Lumpur merupakan kedudukan penting kerana bertanggung jawab menguruskan DBKL di samping menentukan hala tuju ibu negara Malaysia agar menepati visi dan misi kerajaan.

Peranan yang digalas merupakan tanggungjawab berat untuk memenuhi amanah warga kota dan kerajaan supaya Kuala Lumpur menjadi sebuah ibu kota yang setaraf London, Washington D.C, Tokyo dan negara jiran, Singapura.

Selain itu, amanah berat menanti bakal Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ke-14 ekoran kawasan tertentu di ibu negara sering dilanda banjir kilat, sekali gus menuntut Datuk Bandar untuk merancang mengatasi masalah itu yang menghantui warga Lembah Klang setiap kali hujan lebat.

Oleh demikian, jika melihat biodata setiap ketiga-tiga calon, masing-masing mempunyai kekuatan dan kelebihan untuk dilantik sebagai Datuk Bandar Raya Kuala Lumpur dengan berdasarkan rekod dan pengalaman masing-masing.

Misalnya, Ruzain sendiri yang memiliki pengalaman luas dalam kerajaan dengan pernah menjawat pelbagai jawatan seperti Ketua Pengarah Penyiaran dan kini sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah selaku kementerian bertanggungjawab dalam soal ketiga-tiga Wilayah Persekutuan termasuk Kuala Lumpur sendiri.

Namun Sulaiman tidak kurang apabila beliau kini merupakan Pengarah Eksekutif DBKL.

Bagaimanapun Ibrahim juga boleh diangkat sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu walaupun sudah pencen kerana perkara ini bukanlah pelik apabila Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang pernah bersara sebagai

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya pernah dilantik menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-12.

Pada kebiasaannya, pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur dibuat untuk tempoh dua tahun namun boleh disambung sekiranya dipersetujui kerajaan, sekali gus memperlihatkan khidmat Mahadi boleh disambung atau sebaliknya.

Segalanya bakal terjawab tidak lama lagi sekiranya antara salah satu nama itu dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras Bahagian II, Seksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Antara Sulaiman, Ruzain atau Ibrahim, kemungkinan nama-nama lain juga mungkin dipilih. Atau mungkin juga khidmat Mahadi boleh disambung semula.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya