KOTA KINABALU: Seramai 1,519 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah diusir keluar dari Sabah bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 67 kali pengusiran telah dilakukan dengan membabitkan 332 orang diusir melalui udara dan 1,186 orang diusir melalui jalan laut dan seorang melalui jalan darat.
Beliau berkata, semalam satu lagi pengusiran melalui jalan laut dilaksanakan yang membabitkan 750 orang PATI warga Filipina termasuk 31 orang kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
“Kesemua PATI warganegara Filipina itu telah ditahan di Depot Imigresen Tawau, Sandakan, Papar dan Kota Kinabalu sejak tahun 2020.
“Program pengusiran ini diuruskan melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina. Semua tahanan itu berusia antara setahun hingga 88 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang itu diusir bersama keluarga masing-masing.
Mengulas lanjut katanya, proses pengusiran tahanan di semua Depot Imigresen di Sabah tertangguh susulan negara asal tahanan sedang berhadapan dengan ancaman pandemik Covid-19.
Semua tahanan yang berada di depot sejak tahun 2020 telah mendapat vaksin lengkap dan vaksin penggalak.
Malah, semua kemasukan ke depot perlu menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19 seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.
Jelas beliau, semua tahanan di Depot Imigresen ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen1963.
Justeru, semua warga asing diingatkan untuk masuk ke negeri ini dengan menggunakan dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan.
“Operasi Pengusiran ini merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh negeri ini.
“JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pengusiran PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan di negara ini,” katanya.- UTUSAN










