SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menegaskan kes penyelewengan dana RM230 juta yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, tidak mempunyai kaitan dengan badan baitulmal itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Mohd. Khaidzir Shahari berkata, malah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang dinyatakan itu juga tidak mempunyai kaitan dengan Zakat Selangor.
“Zakat Selangor beroperasi sebagai institusi zakat rasmi Negeri Selangor di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor serta tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan sistem tadbir urus, kawal selia serta semak imbang yang menyeluruh.
“Pengurusan dana zakat turut melalui pelbagai lapisan audit dan pemantauan, termasuk audit dalaman, audit luaran serta semakan oleh pihak berautoriti bagi memastikan setiap dana zakat diurus secara teratur dan terkawal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Justeru, beliau menegaskan Zakat Selangor mengekalkan pendirian tegas terhadap sebarang bentuk salah guna dana zakat serta memastikan pengurusan dana zakat dilaksanakan mengikut rangka kerja tadbir urus yang ditetapkan.
Mohd. Khaidzir turut mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar berhubung perkara itu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat.
“Orang awam disarankan untuk merujuk kepada saluran rasmi Zakat Selangor bagi mendapatkan maklumat yang tepat serta menunaikan zakat melalui platform yang sah di www.zakatselangor.com.my,” ujarnya.
Semalam, akhbar ini melaporkan tiga individu termasuk daripada sebuah NGO ditahan SPRM Selangor kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek yang juga dua daripadanya merupakan pengarah syarikat disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2018 hingga 2024.
Susulan itu, dua daripada mereka termasuk timbalan pengerusi masing-masing berusia 57 dan 61 tahun terbabit dibenarkan direman selama empat hari oleh Majistret Ameera Mastura selepas mereka dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini. – UTUSAN










