PUTRAJAYA: Dedahkan identiti Zainab Mohd. Salleh.
Itu gesaan Parti Keadlian Rakyat (PKR) berhubung wanita yang dikaitkan dengan skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).
Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pendedahan itu perlu agar kejadian seperti ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low tidak berulang.
Katanya, wanita berkenaan perlu dibawa ke hadapan dan dikenal pasti peranannya dalam isu skandal tersebut.
“Kita tahu skandal LCS ini melibatkan dana berjumlah berbilion ringgit seperti yang telah dinyatakan dalam laporan forensik, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta pendedahan dibuat Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli tentang berlakunya ketirisan.
“Jadi tanda tanya kenapa identiti wanita berkenaan cuba disembunyikan sehingga ada laporan polis yang mendesak siasatan dilakukan ke atas Rafizi berhubung pendedahan dibuat beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Menurut Akmal, jika dilihat pada rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Zainab dan Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad jelas berada dalam syarikat yang sama, malah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) juga didapati ada memindahkan saham kepada wanita tersebut.
“Sepatutnya identiti wanita ini tidak disembunyikan lagi, kita tidak mahu jadi macam kes Jho Low yang berjaya melarikan diri dan sehingga kini lokasinya tidak diketahui.
“Kena kenal pasti juga peranan wanita tersebut adakah dia berperanan seperti Jho Low kepada Abd. Latif?” soal beliau.
Beliau berkata, laporan SPRM yang dibuat hari ini juga dibuat agar Abd. Latif mengisytiharkan harta serta pendapatan beliau kepada pihak berkuasa seperti yang sepatutnya dilakukan sebagai seorang menteri.
“Saya sudah membuat semakan di laman web SPRM dan nama beliau dinyatakan sebagai seorang yang sudah membuat pengisytiharan harta namun tiada sebarang butiran pun.
“Jika betul mahu bersihkan keadaan, kita desak supaya beliau isytiharkan pendapatan, rekod pegangan perniagaan dan sebagainya kerana sehingga kini belum ada penafian penglibatan beliau dengan syarikat yang didakwa terlibat itu,” tegas beliau.
Media sebelum ini melaporkan penafian Abd. Latiff bahawa penama wanita yang dikaitkan dalam laporan berita tular berkaitan siasatan projek LCS adalah isterinya.
Rafizi sebelum ini mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik Abd. latif yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Pertahanan.
Rafizi juga mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Abd Latiff. – UTUSAN










