Saya tiada akses kepada Perdana Menteri - Saksi

Saya tiada akses kepada Najib – Saksi

SITI ZAUYAH MOHD. DESA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai kanan Kementerian Kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau tidak mempunyai akses langsung kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyuarakan kebimbangan berhubung projek usaha sama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan Aabar Investment BVI Co.

Bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA), Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa berkata, beliau juga tidak boleh melangkaui pegawai atasannya dan mengadu kepada bekas Perdana Menteri mengenai cadangan projek usaha sama itu yang disifatkannya dilakukan secara tergesa-gesa.

Ujar saksi pendakwaan ke-26, projek usaha sama berkenaan adalah satu-satunya pelaburan yang membabitkan transaksi tidak normal pernah ditemuinya sepanjang 25 tahun berkhidmat di Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, kajian mengenai aliran tunai dalam kertas cadangan itu tidak dilakukan dengan sewajarnya selain perlu mengemukakannya kepada Kabinet pada hari sama.

Ujar saksi pendakwaan ke-26 itu, maklumat yang diperolehi daripada 1MDB sangat terhad dan buat pertama kalinya unjuran aliran tunai tidak dibuat.

“Amat penting untuk diteliti bahawa pelaburan ini menghasilkan keuntungan untuk membayar balik pinjaman,” ujarnya pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Siti Zauyah turut ditanya oleh Sri Ram mengapa beliau tidak mengadu terus kepada Najib mengenai tindakan 1MDB yang memaklumkan kepadanya bahawa syarikat pelaburan itu hanya berurusan dengan Perdana Menteri berhubung operasi dan hal ehwal syarikat.

Ujar beliau, tindakan membuat aduan secara terus kepada Perdana Menteri bukan menjadi amalan penjawat awam.

Siti Zauyah berkata, beliau membangkitkan perkara mengenai kertas cadangan itu kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, namun Ahmad Husni memberitahunya bahawa beliau (Ahmad Husni) tidak mahu terbabit dengan isu berkenaan.

Dalam keterangan sebelum ini, saksi memberitahu mahkamah, 1MDB perlu mendapatkan Surat Sokongan (LOS) daripada kerajaan untuk mengumpul dana AS$3 bilion bagi tujuan projek usaha sama dengan dengan Aabar Investment BVI Co.

Sri Ram turut menyoal saksi mengenai keterangan sebelum ini bahawa beliau ada memaklumkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah mengenai keperluan mendapatkan butiran lanjut daripada 1MDB.

Namun saksi menyatakan, beliau bagaimanapun diarahkan terus memproses kertas cadangan bagi mendapatkan surat sokongan.

Disoal apakah tanggapannya daripada kenyataan Mohd Irwan yang menyatakan perkara itu mustahak dan adalah arahan PM, saksi berkata, beliau beranggapan ia satu arahan.

Katanya, kertas cadangan mengenai keperluan 1MDB untuk mendapatkan surat sokongan disediakan oleh Kementerian Kewangan dan dibentangkan di Kabinet sebelum diluluskan Jemaah Menteri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Siti Zauyah memberikan keterangan terhadap Najib, 69, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya