ALOR SETAR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan antara UMNO dan Pas ketika ini masih berjalan melibatkan pimpinan kedua-dua parti hingga ke peringkat akar umbi.
Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, UMNO bukan hanya diwakili oleh Presiden parti itu seorang tetapi melibatkan sebuah organisasi.
Kenyataan itu dilihat sama sekali bertentangan dengan beberapa penegasan dibuat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan lain yang sudah berkali-kali menyatakan pendirian untuk menolak kerjasama bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN).
Menurut Abdul Hadi, bersandarkan sifat politik yang cukup dinamik, adalah tidak mustahil untuk rakyat di negara ini melihat kerjasama UMNO dan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya harap perkara itu (UMNO bergerak solo) adalah kenyataan Presiden UMNO. Bukan ahli UMNO akar umbi dan bukan juga semua pemimpin UMNO. Setakat ini rundingan masih berjalan dengan semua. Pemimpin di bawah juga masih ada hubungan malah di peringkat akar umbi pun masih bercampur dan keadaannya sangat baik.
“Dalam politik tak mustahil (bersama UMNO). Politik ini dinamik dan boleh berlaku macam-macam, jadi perkara itu tak mustahil,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini, hari ini.
Ahmad Zahid dalam laman Facebooknya semalam, menyifatkan kerjasama disampaikan Pas merupakan satu kerjasama politik yang dangkal.
Menurut Abdul Hadi, UMNO ini adalah satu parti yang memiliki Majlis Tertinggi, Naib Presiden serta kepimpinan di peringkat negeri dan bahagian.
“UMNO ini bukan Presiden sahaja. Kita masih lagi berpegang kepada pendirian asal antara Pas dan UMNO di masa kita tubuhkan MN iaitu kita bersetuju bukan hanya UMNO dan Pas, malah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk pertubuhan bukan kerajaan turut diterima. Sehingga kini kita masih berpegang pendirian asal,” katanya. – UTUSAN