Remaja 18 tahun jadi tonggak bantu ibu jaga keluarga - Utusan Malaysia

Remaja 18 tahun jadi tonggak bantu ibu jaga keluarga

NURUL Wahida Jamaluddin bersama anaknya, Muhamad Syahmi Nakha'ie (kanan) dan Muhamad Syafi Naquiddin melihat gambar kesan luka di belakang badannya yang masih belum sembuh ketika ditemui di Kampung Sungai Badak, Kulim, Kedah. -UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang ibu tunggal terharu dengan sikap prihatin dan tanggungjawab anak sulungnya yang baru berusia 18 tahun kerana sanggup berkorban demi menjaga adik-adik serta dirinya yang masih menanggung kesakitan akibat kencing manis.

Nurul Wahida Jamaluddin, 40, berkata, anak sulungnya, Muhamad Syamil Naufal Shahrul Nizan tidak mahu menyambung pelajaran selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu kerana ingin bekerja mencari pendapatan menyara mereka sekeluarga termasuk persekolahan dua adiknya.

Katanya, selain Muhamad Syamil, dia mempunyai dua lagi anak lelaki iaitu Muhamad Syahmi Nakha’ie, 13, dan Muhamad Syafi Naqiuddin Shahrizal, 8, hasil dua perkahwinan yang kedua-duanya berakhir dengan perceraian.

“Pendapatan saya sebelum ini hanyalah melalui perniagaan nasi lemak yang dijual di sebuah gerai berhampiran rumah, namun, sejak diserang strok pada Mac lalu dan bisul di belakang badan, saya kini tidak dapat menjalankan perniagaan kerana perlu mencuci luka setiap hari di sebuah klinik swasta,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Badak di sini.

Menurut Nurul Wahida, kini sudah hampir lima bulan dia tidak dapat berniaga dan sumber pendapatannya hanya wang bantuan zakat sebanyak RM300 sebulan yang digunakan untuk membeli ubat serta perbelanjaan harian.

Katanya, melihat keadaan ditanggungnya, Muhamad Syamil mengambil keputusan mencari pekerjaan selepas tamat persekolahan dan kini dia baru sebulan bekerja dengan sebuah syarikat di sebuah pasar raya di Kulim.

“Saya tanya sama ada dia ingin sambung pelajaran, namun, jawapannya tidak mahu kerana ingin bantu saya serta adik-adiknya bersekolah. Mujur juga seorang adik lelaki yang bekerja di Kulim Hi Tech tinggal bersama saya dan dia bantu selesaikan bil elektrik, air dan lain-lain disamping bantuan adik-beradik serta saudara,” katanya.

Menceritakan keadaan kesihatannya, Nurul Wahida berkata, dia dimasukkan ke Hospital Kulim selama empat hari ketika diserang strok dan selepas dibenarkan keluar, dia masih lagi boleh berniaga seperti biasa.

Namun, ketika sakit di bahagian belakang badan pada pertengahan Jun, doktor memaklumkan kesakitan itu akibat bengkak disebabkan bisul yang bernanah dan semakin teruk serta perlu menjalani pembedahan segera.

“Selepas pembedahan membuang nanah, luka yang saya alami sangat besar iaitu kira-kira 15 sentimeter serta nampak isi kemerah-merahan yang memerlukan ia dicuci setiap hari.

“Kini sudah hampir tiga bulan luka beransur pulih dengan kesannya mula berkurangan kepada kira-kira 12 sentimeter, saya difahamkan ia mengambil masa lama untuk luka itu sembuh sepenuhnya disebabkan penyakit kencing manis yang saya hidapi,” jelasnya.

Tambahnya, dia mencuci luka itu di klinik swasta selepas pihak zakat memberi kupon untuk berbuat demikian. Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban ibu tunggal itu sekeluarga boleh menghubunginya di talian 012-5520954 atau menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank Nurul Wahida iaitu 7610501757. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya