fbpx

Rasuah UKSB: Nasib Zahid diketahui dua minggu lagi

AHMAD Zahid Hamidi hadir pada prosiding akhir hujahan peringkat pendakwaan hari ini di Mahkamah Tinggi yang turut menetapkan tarikh untuk menentukan nasibnya terhadap 40 pertuduhan rasuah di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor. - FOTO/ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi menetapkan 23 September untuk menentukan keputusan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu membela diri atau dibebaskan terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak Visa Luar Negara dan Pusat Perkhidmatan Setempat (OSC).

Tarikh dua minggu lagi itu ditetapkan Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa selepas mendengar hujahan peringkat akhir daripada pasukan pendakwaan dan pembelaan selama empat hari bermula 1 September lalu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pendakwaan dan turut diwakili Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong serta B. Thavani 

Sementara peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik mengetuai pasukan pembelaan bersama Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

Pihak pendakwaan sebelum ini menutup kesnya pada 11 Ogos lalu selepas memanggil 18 saksi termasuk bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Alwi Ibrahim, dan tiga bekas pengarah Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani serta David Tan Siong Sun.

Hakim Mohd. Yazid sebelum menutup prosiding hujahan akhir pendakwaan membangkitkan persoalan jika lejar yang ditanda sebagai bukti P63 cukup untuk membuktikan Ahmad Zahid menerima wang daripada UKSB.

Malah, beliau meminta pasukan pendakwaan menghujahkan perkara tersebut apabila terdapat transaksi yang ditanda sebagai HL (Harry Lee) serta tidak mempunyai ‘remarks’.

“Kita rujuk di P63 pada muka surat dua, bayaran tak ada ‘remarks’, jadi berasaskan kepada itu, adakah itu cukup? Adakah cukup membuktikan duit tersebut diterima tertuduh. Soal kredibiliti atau tidak, itu mahkamah yang akan tentukan. 

“Cukup atau tidak duit tersebut dibuktikan diterima (oleh tertuduh). Berasaskan catatan lejar, keterangan saksi-saksi terutama SP17 (Saksi Pendakwaan Ke-17, David Tan), adakah cukup atau tidak. Ada notes tak duit diberikan kepada Harry Lee diberikan kepada tertuduh?” soalnya.

Bagaimanapun, Raja Rozela menjelaskan, pendakwaan tidak bergantung kepada lejar tersebut semata-mata, sebaliknya perlu dinilai bersama keterangan-keterangan saksi terutama David Tan.

“Tertanya-tanya betul atau tidak duit itu sampai (kepada tertuduh) diberi oleh UKSB. Apa yang saya katakan tadi, jika berasaskan kepada lejar, ia tidak cukup kerana mungkin tak akan ada apa-apa klu yang boleh dikaitkan dengan lejar.

“Kerana seperti diterangkan oleh David Tan, (lejar) ditulis kerana mengikut kehendak hatinya kerana dia bukan seorang akauntan.

“Selepas itu dia keluar, itu sebab dia kata bila wang itu dikeluarkan, David Tan kata dia catat bila delivery dibuat kepada tertuduh, dia akan catat atas lejar tersebut,”  katanya menjawab pertanyaan hakim.

Sementara itu, pada awal prosiding, peguam, Hamidi menghujahkan tiada bukti bagi mengesahkan sumber wang tunai UKSB diberikan kepada Ahmad Zahid, adalah hasil perjanjian dengan syarikat di Hong Kong.

Menurutnya, hujahan tersebut susulan tiada saksi pendakwaan dari syarikat terbabit dipanggil bagi memberi keterangan untuk mengesahkan kewujudan wang berkenaan.

“SP15, 16 dan 17 (Harry Lee, Wan Quoris Shah dan David Tan) kata wang diberi bukan dari hasil UKSB. Jadi wang dari mana?Jika sumber wang dari Hong Kong, kena panggil saksi dari negara itu untuk sahkan perkara berkenaan termasuk jumlahnya. 

“Sumber wang itu daripada Visa Malaysia Ltd, selain dividen Valiant Capital Corporation dan Maintech System HK Ltd (syarikat Hong Kong). Pengarah syarikat itu perlu dipanggil beri keterangan. Mereka perlu membuktikan wang itu wujud atau tidak, ia perkara asas. Yang ada sekarang hanya keterangan tiga saksi pendakwaan berkenaan,” katanya.

Ahmad Zahid dalam tujuh pertuduhan didakwa menerima sejumlah wang tunai S$1,150,000; RM3 juta, 15,500 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya. 

Dalam 33 pertuduhan lain berjumlah S$13.56 juta, beliau didakwa menerima wang tersebut daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya melanjutkan kontrak pengendali OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN