Rasuah: Pegawai kanan IPTA direman tujuh hari

Pegawai kanan IPTA direman tujuh hari, terima suapan Honda Accord

SUSPEK berusia 50-an diiring pegawai SPRM selepas perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pegawai kanan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini direman tujuh hari ini bagi membantu siasatan dakwaan menerima suapan kereta Honda Accord bernilai RM174,500.

Majistret Mazana Sinin membenarkan perintah reman sehngga 26 September ini terhadap suspek berusia 50-an itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. 

Suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini pukul 9.04 pagi tadi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dan permohonan reman selesai kira-kira 40 minit kemudian.

Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad berkata, pihaknya menahan seorang pengarah bahagian pengurusan fasiliti awam sebuah universiti awam atas dakwaan menerima suapan.

Katanya, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.

“Pegawai tersebut ditahan atas dakwaan menerima satu suapan harta alih iaitu sebuah kenderaan jenis Honda Accord 2.4 I-Vtec yang dianggarkan bernilai RM174,500.

“Kereta itu diterima daripada seorang pemilik syarikat kontraktor di Klang, Selangor sebagai dorongan untuk memperoleh tender terbuka bernilai RM1,654,350. Dia ditangkap bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009,” katanya kepada pemberita.

Sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya