KLUANG: Ramai yang berputus asa dan tidak mahu lagi meneruskan pertanian mereka kerana tidak sanggup menanggung kerugian selepas tanaman sering dimusnahkan oleh gajah sebelum sempat menuai hasilnya.
Antara pertanian yang terancam dengan serangan gajah ini adalah kelapa sawit, tebu, pisang, cempedak dan nangka.
Ketua Kampung Sri Lukut di Kahang, Mohd. Yusof Ibrahim berkata, Kampung Sri Lukut dan Kampung Temigol antara penempatan yang sering berlaku serangan atau gangguan oleh kumpulan gajah kerana kedudukannya bersempadan dengan hutan simpan.

Selain itu, banyak perkampungan Orang Asli seperti Kampung Orang Asli Sedohok, Kuala Sengka Air Pasir dan Sungai Peroh turut menjadi penempatan yang sering dimasuki gajah liar.
Akibat kejadian yang sering berlaku sejak beberapa tahun lalu, ada penduduk bagaikan sudah putus asa untuk mengusahakan aktiviti pertanian.
“Keadaan ini membuatkan mereka mengalami kerugian melibatkan ribuan ringgit, malah lebih malang ada tanaman yang belum sempat dituai hasilnya namun sudah musnah dirosakkan gajah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Muhammad Danish Saedin, 17, yang pernah terlanggar seekor gajah yang melintas jalan di Jalan Kota Tinggi-Kluang pada 4 Ogos lalu, belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya.
Menurut Saedin Sadoon, 47, anaknya kini hanya boleh minum susu khas untuk mengalas perut kerana masih tidak boleh mengunyah sebarang makanan keras.
“Dia juga hanya terbaring selain menggunakan bahasa isyarat atau tulisan untuk menyatakan sesuatu yang diperlukan.
“Selain itu, Danish juga berhadapan masalah kurang ingatan dan hanya kawan rapat serta ahli keluarga yang mampu diingatinya,” katanya.

Serangan atau gangguan gajah di Kluang bukan sesuatu yang luar biasa kerana berlaku hampir setiap minggu sama ada di kawasan ladang, kebun, perkampungan atau taman perumahan.
Antara kawasan penempatan yang sering diganggu kumpulan gajah ialah Kampung Sri Lukut, Kampung Temigol, Kampung Sahari, Kampung Ilham, Kampung Sri Timur, Taman Sri Lambak, Taman Sri Impian, Felda Kahang Barat, Felda Ulu Dengar, Felda Bukit Tongkat dan Felda Ulu Penggeli selain Ladang Tabung Haji.
Kumpulan gajah itu dikenal pasti datang dari Hutan Simpan Kluang, Hutan Simpan Panti, Hutan Simpan Jamaluang serta Taman Negara Endau-Rompin.
Setiap kumpulan gajah terdiri daripada tujuh hingga 40 ekor yang sebahagian besarnya berusia antara dua hingga 10 tahun. – UTUSAN










