SPM bukan noktah

SPM bukan noktah

SIJIL Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan persimpangan kecil dalam laluan panjang menuju kejayaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHIDUPAN manusia sentiasa berputar dalam kitaran pengalaman yang berwarna-warni, ada ketika manis, ada ketika pahit.

Demikian juga realiti yang dihadapi ratusan ribu pelajar apabila menerima keputusan  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun.

Bagi pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, kegembiraan jelas terpancar melalui senyuman dan tangisan penuh syukur. Ada yang berkongsi kejayaan di media sosial sebagai simbol usaha yang membuahkan hasil. 

Segala penat lelah selama bertahun-tahun akhirnya terbalas dengan pencapaian membanggakan. Namun, dalam suasana itu, terdapat juga pelajar yang hanya mampu tersenyum hambar kerana keputusan yang tidak memenuhi jangkaan. Perasaan kecewa dan rendah diri mula menyelubungi diri, seolah-olah masa hadapan menjadi kabur dan tidak menentu.

Hakikat yang perlu difahami SPM bukanlah noktah perjalanan kehidupan sebaliknya persimpangan kecil dalam laluan panjang menuju kejayaan. Keputusan yang diperoleh tidak menentukan sepenuhnya masa hadapan seseorang. 

Sejarah membuktikan ramai individu berjaya tanpa bergantung sepenuhnya pada keputusan peperiksaan. Malah, terdapat juga pelajar cemerlang di peringkat SPM yang gagal mengekalkan prestasi di peringkat pengajian tinggi (IPT) akibat kesilapan membuat pilihan atau terpengaruh dengan persekitaran baharu.

Antara punca kegagalan ialah kesilapan memilih program pengajian, sama ada kerana mengikut rakan, tekanan keluarga atau kurang mengenali minat serta potensi diri. Selain itu, pengaruh persekitaran di IPT turut memainkan peranan besar. 

Tanpa kawalan diri yang baik, pelajar mudah terjebak dalam gaya hidup tidak seimbang. Penggunaan gajet secara berlebihan, khususnya media sosial, menjadi cabaran utama yang mengganggu fokus pembelajaran. Dalam keadaan ini, teknologi yang sepatutnya membantu boleh bertukar menjadi punca kemerosotan prestasi.

Namun, kegagalan bukanlah pengakhiran yang suram. Ada pelajar yang tidak cemerlang dalam SPM tetapi akhirnya berjaya dalam pengajian tinggi dan kerjaya. 

Mereka mungkin bermula dengan langkah yang perlahan, melalui laluan lebih panjang dan berliku, namun pengalaman kegagalan menjadikan mereka lebih kuat, matang dan berdaya tahan. Kejayaan yang diraih bukan datang secara mudah tetapi hasil usaha berterusan dan keazaman untuk mengubah nasib diri.

Tidak dinafikan, kegagalan sering disertai tekanan emosi yang mendalam. Perasaan kecewa, sedih dan putus asa boleh menjejaskan kesihatan mental. Oleh itu, pengurusan emosi yang baik amat penting agar pelajar tidak mengambil jalan singkat yang memudaratkan diri. Sokongan daripada ibu bapa, guru dan rakan-rakan sangat diperlukan untuk membantu mereka menghadapi saat sukar dengan lebih positif dan rasional.

Dalam situasi ini, sikap bersyukur menjadi kunci penting. Walaupun keputusan tidak seperti yang diharapkan, setiap pencapaian tetap mempunyai nilai tersendiri. Dengan mensyukuri apa yang ada, seseorang dapat mengurangkan tekanan dan membina kekuatan dalaman untuk terus melangkah ke hadapan. Usaha berterusan, doa dan tawakal kepada Tuhan menjadi asas penting dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Untuk keluar daripada kepompong kegagalan, perubahan diri ialah kunci utama. Individu perlu berani memperbaiki kelemahan dan menetapkan matlamat yang jelas. 

Dunia selepas SPM sememangnya penuh cabaran dan persaingan, namun setiap individu memiliki kuasa untuk mencorakkan masa hadapan. Jangan biarkan kegagalan sementara atau pandangan orang lain menentukan nilai diri. Sebaliknya, jadilah insan yang bijak membuat keputusan, mengawal emosi dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.

Sesungguhnya, perjalanan selepas SPM ialah ruang terbaik untuk mengenal potensi diri dan membina jati diri. Sama ada bermula dengan kejayaan atau kegagalan, kedua-duanya merupakan guru yang mematangkan pemikiran. Ingatlah, SPM bukan penamat tetapi permulaan kepada perjalanan panjang yang penuh peluang dan harapan. –UTUSAN

 

 

PROFESOR DR. ZAFIR KHAN  MOHAMED MAKHBUL

Profesor Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan Organisasi,

Universiti Kebangsaan Malaysia

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN