TEBING BARAT: Penyokong setia Presiden, Mahmoud Abbas memenangi kebanyakan perlumbaan dalam pilihan raya perbandaran Palestin, undian yang buat pertama kalinya dalam hampir dua dekad merangkumi sebuah bandar di Gaza.
Undian pada Sabtu itu menandakan pilihan raya pertama di Gaza sejak 2006, selain menjadi pungutan suara pertama Palestin sejak perang Israel terhadap rakyat di wilayah itu bermula pada Oktober 2023.
Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berpangkalan di Tebing Barat pimpinan Abbas berkata, penyertaan bandar Deir al-Balah di tengah Gaza, disifatkan sebagai pilihan raya ‘perintis’ bagi menunjukkan wilayah itu sebahagian daripada negara Palestin yang tidak boleh dipisahkan pada masa depan.
Hamas, yang mentadbir Gaza sejak 2007, tidak secara rasmi menamakan calon di Gaza dan memboikot perlumbaan di Tebing Barat, di mana kemenangan Fatah dijangka secara meluas.
Namun, beberapa calon dalam senarai di Deir al-Balah dilihat oleh penduduk dan penganalisis mempunyai kaitan dengan pergerakan itu, sekali gus menjadikan undian berkenaan sebagai petunjuk berpotensi terhadap tahap sokongan kepada kumpulan tersebut.
Keputusan awal menunjukkan senarai itu, yang dikenali sebagai Deir al-Balah Membawa Kita Bersama, hanya memenangi dua daripada 15 kerusi yang dipertandingkan di Gaza.
Senarai Nahdat Deir Al-Balah, yang disokong parti Fatah pimpinan Abbas serta PA, memperoleh enam kerusi.
Baki kerusi dimenangi oleh dua lagi kumpulan berpangkalan di Gaza, iaitu Future of Deir Al-Balah dan Peace and Building, yang tidak bergabung dengan mana-mana puak.
Penyokong setia Abbas memenangi pilihan raya di Tebing Barat, tanpa dicabar di banyak kerusi.
Jurucakap Fatah, Abdul Fattah Dawla berkata, kadar keluar mengundi hampir sama dengan pilihan raya perbandaran terakhir di Tebing Barat pada 2022, sambil memuji pengundi kerana tetap mengambil bahagian meskipun keganasan berterusan Israel.
Sementara itu, sebahagian peti undi dan peralatan pengundian tidak dapat dibawa masuk ke wilayah berkenaan susulan sekatan yang dikenakan rejim Israel.- AGENSI










