KUALA LUMPUR: Anggota Kabinet dipercayai berbelah-bahagi dengan cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada tahun ini.
Dalam kalangan menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, mereka menolak PRU15 dalam masa terdekat dengan alasan mahu kerajaan menumpukan kepada pengurusan bencana banjir dan ekonomi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang menteri yang tidak mahu mendedahkan namanya berkata, ada juga menteri tidak bersetuju jika Parlimen dibubarkan sebelum Belanjawan 2023 dibentangkan 7 Oktober ini.
Belanjawan 2023 dijadual dibentangkan pada 7 Oktober ini dan perlu dibahaskan serta diluluskan di Dewan Rakyat.
Katanya, menteri yang menolak cadangan PRU15 diadakan tahun ini beranggapan sangat rugi jika pembubaran Dewan Rakyat dilakukan lebih awal selagi belanjawan belum diluluskan selain mengambil kira faktor banjir hujung tahun yang dijangka lebih buruk.
Ditanya ‘mood’ ahli Kabinet sepanjang mesyuarat Jemaah Menteri berlangsung, beliau berkata, terdapat menteri khususnya daripada UMNO mahu pilihan raya umum (PRU) diadakan segera, namun dibantah menteri-menteri lain khususnya daripada Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, Perdana Menteri akan mengambil kira semua pandangan anggota Kabinet dalam menentukan keputusan tarikh pembubaran Dewan Rakyat.
“Segalanya terserah kepada Perdana Menteri,” katanya.
Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan membawa pandangan semua pihak mengenai tarikh pilihan raya dalam mesyuarat semalam, memandangkan Kabinet mempunyai wakil daripada pelbagai parti.
Katanya, ini termasuk perbincangan mengenai kedudukan ekonomi negara sama ada ia disifatkan berjaya atau sebaliknya yang akan dibentangkan oleh menteri berkaitan.
“Saya akan bawa dalam Kabinet (PRU15), bincang semua pihak. Kalau Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu PRU cepat, kita bincang sebab dalam Kabinet ada wakil daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan UMNO.
“Kita bawa ke Kabinet secepat mungkin, mungkin mendahului daripada ‘Top 5’ (lima pemimpin tertinggi UMNO),” kata Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Menteri Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada keputusan mengenai ketetapan tarikh PRU15 dalam mesyuarat Kabinet sebaliknya hanya membincangkan persiapan banjir dan pemulihan ekonomi.
“Mesyuarat bincang sepintas lalu dan bersetuju untuk diberi perhatian kepada isu kebajikan rakyat, persiapan banjir dan pemulihan ekonomi,” ujarnya.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim pula enggan mengulas lanjut berhubung tarikh sama ada PRU15 tahun ini atau tahun depan dibincangkan.
Ditanya sama ada menteri kabinet membantah atau bersetuju agar PRU tahun ini, Shahidan berkata: “Saya tidak boleh jawab. Dalam Kabinet, kita tertakluk pada sumpah rahsia rasmi kerajaan.”
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, mesyuarat Kabinet semalam hanya membincangkan persiapan banjir.
Namun, seorang lagi menteri yang dihubungi turut mengesahkan Kabinet semalam ada membincangkan tarikh PRU15, namun beliau mengunci mulut mengenai butirannya.
Untuk rekod, barisan Kabinet Ismail Sabri terdiri daripada 11 menteri UMNO, Bersatu 9, Parti Bangsa Malaysia (PBM) 1, Gabungan Parti Sarawak (GPS), 4, Pas (3), Parti Bersatu Sabah (PBS) 1, MCA 1 dan MIC 1, menjadikan jumlah keseluruhannya adalah 31 orang.
Berdasarkan Perkara 40 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen. – UTUSAN










