Penduduk pesisir pantai masih bimbang ancaman Taufan Noru

Penduduk pesisir pantai masih bimbang ancaman Taufan Noru

KEADAAN beberapa buah rumah yang menunggu masa untuk roboh di Kampung Cacar Lama, Paka, Dungun, Terengganu. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Penduduk yang tinggal di pesisir pantai di Kampung Cacar, Paka dekat ini melahirkan kebimbangan tempias Taufan Noru akan menyebabkan kediaman mereka terjejas.

Menurut penduduk, angin kencang serta laut bergelora dibimbangi akan merosakkan struktur rumah mereka yang tidak kukuh, ekoran hakisan yang berlaku di kawasan tersebut.

Salah seorang penduduk, Raja Nazri Raja Ngah, 44, berkata, dia dan isterinya, Khanisah Md Noor, 42, membuat persiapan awal dengan mengikat bumbung rumah mereka bagi memastikan ia tidak terbang dibawa angin seperti yang sering berlaku pada musim tengkujuh.

“Memang kami dah ikat awal-awal bumbung rumah dengan tali yang berat supaya tak terbang bila angin kuat. Biasanya, kalau angin dan ombak kuat, memang air laut akan menimpa hingga ke bumbung rumah.

“Bila ada amaran taufan Noru ini kami sangat bimbang dan takut sebab rumah yang kami tinggal sekarang tidak selamat diduduki sebab hakisan, namun kami tiada pilihan lain sebab tidak mampu menyewa rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Samsudin Abu Bakar, 45, berkata, dia berharap kerajaan negeri akan mengambil tindakan awal dengan menyediakan penempatan sementara buat penduduk yang dijangka terjejas.

“Kami harap sebelum angin kencang melanda, pihak berkuasa akan ambil peranan. Sekurang-kurangnya bina benteng untuk selamatkan kediaman kami.

“Apa yang kami bimbang adalah kalau angin kencang berlaku waktu malam sebab antara rumah kami dengan laut memang langsung tiada apa-apa penghadang sebab pokok rhu dan pokok kelapa semuanya dah tumbang ekoran hakisan teruk,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di kawasan tersebut mendapati ada antara rumah penduduk yang hanya menunggu masa untuk roboh, namun masih diduduki.

Pada 27 September lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran Taufan Noru yang telah melanggar utara Filipina sehingga meragut lima nyawa kini dijangka bergerak ke barat menuju Vietnam yang akan turut memberi tempias ke atas beberapa negeri di Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN