Penduduk Kampung Iboi terus trauma - Utusan Malaysia

Penduduk Kampung Iboi terus trauma

PENDUDUK kembali menggunakan Jambatan Bailey yang siap dibaiki selepas rosak akibat banjir kali ketiga di Kampung Iboi, Kupang di Baling. - UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Meskipun Jambatan Bailey siap dibaiki dan boleh dilalui semula, namun penduduk Kampung Iboi masih dalam keadaan gusar dan bimbang kemungkinan berlaku lagi banjir kali keempat dan seterusnya.

Ketua Kampung Iboi, Noor Mohamad Che Husin berkata, kebimbangan dan trauma penduduk semakin bertambah buruk terutamanya jika melihat cuaca bertukar mendung.

“Penduduk terutamanya mangsa banjir mengalami trauma yang amat dahsyat apabila setiap kali mereka lihat keadaan cuaca, bimbang sekiranya berlaku hujan lebat di kawasan Gunung Inas, pasti banjir kepala air berlaku lagi.

“Saya mohon kerajaan dan agensi-agensi berkaitan bertindak segera atasi masalah ini kerana penduduk sudah letih, semakin mendapat tekanan mental dan fizikal apabila menghadapinya,” katanya ketika ditemui di Kampung Iboi, Kupang semalam.

Menurutnya, taklimat diberikan pihak berkaitan sebelum ini yang menyatakan banjir pulih dan tidak akan berlaku bencana berskala besar dalam tempoh 30 hingga 100 tahun juga meleset setelah tiga kali kejadian itu berlaku dalam tempoh dua bulan.

Katanya, arus deras dari hulu Sungai Kupang yang terletak di kaki Gunung Inas kali ini tetap kuat apabila merosakkan struktur Jambatan Bailey dan jalan raya yang bersambungan dengannya.

“Ini menunjukkan masih ada lagi faktor-faktor yang menyebabkan banjir kepala air apabila gelombang ketiga ini dibawa bersamanya sisa kayu balak dan batu serta pasir sehingga menyebabkan jambatan rosak dan berganjak daripada kedudukan asal.

“Jadi, rakyat mulai tidak percaya dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pakar-pakar, kalau boleh kami minta pihak terbabit buat satu kajian terperinci dan telus supaya rakyat lebih yakin dan seterusnya mereka mengatasi masalah banjir secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bekalan Paip Air Masyarakat Kampung Iboi, Malik Arshad, 58, berkata, Jambatan Bailey dinaikkan setinggi hampir satu meter daripada kedudukan asal bagi mengelak halangan air atau kayu-kayu balak sekiranya berlaku banjir dalam tempoh terdekat.

Katanya, longgokan pasir di tepi sungai juga merupakan salah satu punca air sungai melimpah kerana pasir-pasir itu hanyut dan memasuki semula ke dalam sungai sehingga mencetekkan dasarnya.

“Sebelum jambatan ini siap, penduduk Kampung Iboi Masjid, Kampung Bok Bak dan Kampung Tanjung Nering terpaksa melalui jalan alternatif lain untuk keluar ke jalan besar.

“Tiada jalan lain yang boleh dilalui kenderaan, mereka perlu ikut Kampung Kuala Kuang melalui jalan Kampung Bok Bak yang jaraknya lebih kurang tujuh kilometer berbanding jalan Kampung Iboi hanya tiga kilometer ke jalan besar.

“Bagi penduduk berdekatan tebing sungai, kami hanya berjalan kaki menyeberangi sungai ini sekiranya air cetek dan arus tidak deras,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN