PETALING JAYA: Surat tuntutan difailkan terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mendapat maklumat mengenai kemas kini pelan tindakan banjir selepas Ketua Audit Negara (AG) menyatakan mengenai kegagalan bulan lepas.
Bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, Datuk S. Ambiga berkata, surat tuntutan yang ditulis pada 19 September lalu ditujukan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyatakan mereka perlu memberi maklumat dalam tempoh lima hari selepas surat itu atau menghadapi saman.
“DBKL telah berjanji melaksanakan langkah-langkah mitigasi banjir tahun ini, tetapi AG dalam laporan bulan lepas menekankan beberapa kegagalan di pihak DBKL untuk melaksanakan projek mitigasi banjir yang dicadangkan dalam pelan induk banjirnya sendiri.
“Dilaporkan bahawa hanya lapan daripada 104 atau 7.7 peratus langkah mitigasi banjir yang dicadangkan dalam pelan induk 2017 telah dilaksanakan atau sedang dalam proses pelaksanaan oleh DBKL,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Ambiga bersama tujuh lagi penduduk di ibu negara iaitu Kiu Jia Yaw, Muhammad Taufiq Mohd Razak, Farah Syahidah Shamsuddin, Safiya Spahic, P. Geethananthini, Shah Fariq Aizal Sha Ghazni dan Nur Aneesa Mohammad Nizam memfailkan surat tuntutan.
Surat tuntutan dikemukakan melalui firma Messrs Lim Wei Jiet yang mana mereka meminta maklumat dan dokumen berhubung rancangan mitigasi banjir DBKL untuk musim tengkujuh yang akan datang.
Penduduk berkata, respons DBKL kepada AG ialah 22 lagi langkah mitigasi banjir akan dilaksanakan pada 2022. Justeru, penduduk KL kini meminta untuk mengetahui status semasa 22 langkah mitigasi banjir tersebut.
Mereka juga berkata Peguam Negara telah mengenal pasti bahawa lima langkah mitigasi jangka pendek yang dicadangkan dalam pelan induk banjir belum dilaksanakan di kawasan yang mudah banjir meliputi Jalan Tun Razak, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan U-Thant setakat Mac 2022.
Ambiga berkata, DBKL telah memberi respon kepada persoalan tersebut dengan menyatakan cadangan langkah mitigasi banjir di kawasan Jalan Tun Razak dan Jalan U-Thant akan dilaksanakan pada tahun 2022.
“Langkah-langkah mitigasi banjir perlu diteliti secara terperinci untuk memastikan ia mencukupi dan untuk melibatkan diri serta memberikan maklum balas jika tidak.
“Ketelusan maklumat sebegini adalah penting untuk kesedaran awam dan untuk membolehkan penyertaan awam yang seterusnya, merupakan asas kepada penggubalan dasar awam yang baik.
“Sekiranya DBKL dan menteri tidak memberi maklum balas dalam tempoh lima hari, penduduk KL akan terus mengambil tindakan di mahkamah,” katanya. – UTUSAN










