Pendakwaan bukan berniat jahat, penganiayaan politik

Pendakwaan bukan berniat jahat, penganiayaan politik

ABDUL Azeez Abdul Rahim (dua dari kiri) hadir mendengar keputusan sama ada Mahkamah Rayuan membenarkan atau menolak rayuan untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Persekutuan. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini berpendirian, pendakwaan terhadap bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bukan dilakukan atas niat jahat, salah guna kuasa atau satu penganiayaan politik.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said berpendapat, tidak berlaku salah laksana keadilan terhadap Ahli Parlimen Baling itu kerana pertuduhan yang dikemukakan, berasas dan tidak cacat.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali menyatakan, pendakwa raya mempunyai bidang kuasa di bawah peruntukan undang-undang untuk melakukan pendakwaan.

“Ramai yang tidak menghargai kuasa yang diberikan kepada pendakwa raya dan dalam rayuan ini, tidak ditunjukkan pendakwa telah menyalahguna kuasa ketika mendakwa Abdul Azeez,” ujar Hakim Abu Bakar ketika menyampaikan keputusan rayuan Abdul Azeez.

Mahkamah membebaskan beliau daripada empat pertuduhan pengubahan wang haram dan mengekalkan enam yang lain serta tiga pertuduhan rasuah.

Panel itu berpendapat, Abdul Azeez perlu menghadapi baki sembilan pertuduhan dan Mahkamah Sesyen akan menentukan sama ada pendakwaan berjaya membuktikan kes atau sebaliknya.

Ketika membacakan alasan penghakiman mahkamah selama hampir sejam 40 minit, Hakim Abu Bakar menggariskan beberapa alasan mengapa keempat-empat pertuduhan itu digugurkan.

Beliau menyentuh persoalan sama ada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mempunyai bidang kuasa mendengar kes itu walhal pertuduhan menyebut kesalahan dilakukan di sekitar Lembah Klang.

“Sebagai contoh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tiada bidang kuasa tempatan jika kesalahan dilakukan di Petaling Jaya. Oleh itu, ia mengelirukan perayu (Abdul Azeez) dan beliau tiada persediaan mencukupi untuk membela diri,” ujar Hakim Abu Bakar.

Panel itu turut berpuas hati keempat-empat pertuduhan itu dibatalkan kerana boleh menimbulkan tanda tanya yang serius jika dikekalkan.

Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin pada 12 Mac 2021 yang menolak permohonannya untuk membatalkan kesemua 13 pertuduhan.

Abdul Azeez pada asalnya didakwa pada 16 Januari 2019 atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah dan 10 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM13.9 juta.

Pertuduhan rasuah berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru dan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya