Majikan wanita didakwa cederakan amah guna kayu

Majikan wanita didakwa cederakan amah guna kayu

K. Rineshini Naidu dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang bagi menghadapi pertuduhan menyebabkan cedera parah menggunakan kayu terhadap pembantu rumah warganegara Indonesia. - UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Seorang majikan wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan kayu terhadap pembantu rumahnya warganegara Indonesia, akhir bulan lalu.

Tertuduh K. Rineshini Naidu, 35, yang juga seorang pengurus sebuah syarikat swasta membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Mengikut pertuduhan, Rineshini Naidu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Zailis, 46, dengan menggunakan sebatang kayu yang boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Industri Balton, Gombak di sini pukul 11 pagi pada 30 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zainudin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa.

“Pagi tadi tertuduh telah didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor atas pertuduhan Antipemerdangan Orang (ATIP).Pihak pendakwaan memohon mahkamah ini membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Klang untuk dibicarakan bersama,” katanya.

Bagaimanapun peguam A. Narainasami yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan tertuduh mempunyai anak kecil selain tidak membantah sekiranya kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Klang.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Klang untuk dibicarakan secara bersama.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen Klang, Rineshini Naidu, dan suaminya S. Vijiyan Rao, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdagangkan amah sama bagi tujuan eksploitasi kerja paksa sehingga menyebabkan kecederaan parah antara Mac dan Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama melakukan perbuatan itu terhadap Zailis pada tempat sama antara Mac hingga 30 Ogos lalu.

Pasangan suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 13 (a) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau pemenjaraan tidak kurang dari lima tahun, dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Sesyen Klang kemudian membenarkan Rineshini Naidu dan suaminya diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 5 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Media pada 3 September lalu melaporkan polis menahan seorang wanita tempatan yang juga majikan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mendera pembantu rumah warga Indonesia di rumahnya di Batu Caves, di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihak polis menerima laporan yang dibuat mangsa, seorang wanita Indonesia berumur 46 tahun pada pukul 5 petang pada 31 Ogos lalu.

Menurut polis, mangsa mendakwa telah didera secara fizikal oleh majikannya yang merupakan pasangan suami isteri di sebuah rumah di kawasan Batu Caves.

Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah bekerja dengan pasangan suami isteri tersebut bermula Oktober 2019 dan mendakwa sering dipukul oleh majikan sejak bekerja di rumah pasangan itu.

Menurutnya, susulan kejadian itu, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah daerah telah memberkas seorang wanita tempatan yang juga majikan mangsa berumur 35 tahun pada 1 September lalu bagi membantu siasatan.

Sejurus kejadian itu dilaporkan, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan medianya berkata, kementerian itu tidak akan melindungi identiti mana-mana majikan yang didapati bertindak di luar batas kemanusiaan meskipun masih di dalam peringkat siasatan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihaknya percaya dengan usaha itu, majikan akan lebih peka atas tindakan yang diambil terhadap pekerja mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya