Mahkamah benar kredibiliti saksi pembelaan dicabar - Utusan Malaysia

Mahkamah benar kredibiliti saksi pembelaan dicabar

AHMAD Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti seorang pengarah syarikat pembinaan pada perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Permohonan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika menyoal balas saksi pembelaan ketiga, Jefri Jamil berhubung pembinaan sekolah agama dan masjid di Masjid Tanah, Melaka yang dibiayai menggunakan dana Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid.

Pihak pendakwaan berpendirian, keterangan Pengarah Syarikat Teknik Sempurna Sdn. Bhd. itu di mahkamah bercanggah dengan pernyataan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), empat tahun lalu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan itu di bawah Seksyen 155(c) Akta Keterangan 1950 selepas berpuas hati prosiding itu boleh dilakukan di bawah keadaan-keadaan yang dibenarkan mengikut seksyen tersebut.

Hakim Collin berpendapat, seksyen berkenaan membenarkan prosiding itu dimulakan kerana pernyataan kepada SPRM itu tidak menyentuh sama ada ia tertakluk di bawah OSA atau sebaliknya.

Terdahulu, permohonan itu dibantah oleh peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dengan alasan pernyataan Jefri telah diklasifikasikan sebagai sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 2 Mac 2021.

Menurut Hisyam, pendakwaan tidak boleh memulakan prosiding itu kerana permohonan pihaknya sebelum ini untuk mendapatkan dokumen berkenaan telah ditolak mahkamah atas alasan ia tertakluk di bawah OSA.

Hisyam berhujah, pernyataan itu seharusnya dinyahklasifikasikan terlebih dahulu.

Terdahulu, Jefri memberitahu mahkamah, pembinaan sebuah sekolah agama dan masjid di Masjid Tanah dibiayai oleh dana Yayasan Akalbudi yang diasaskan oleh Ahmad Zahid.

Pengarah syarikat itu berkata, kedua-dua bangunan tersebut ialah Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Al-bab dan Masjid Terapung Salmah Khamis terletak di Durian Tunggal.

Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh Raja Rozela, Jefri memberitahu, beliau pernah memberi pernyataan kepada SPRM pda 2018, namun tidak mengingati kandungannya.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan Presiden UMNO yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana yayasan untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya