Lumba haram: Jangan timbulkan isu perkauman

Lumba haram: Jangan timbulkan isu perkauman

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang meminta orang ramai tidak menimbulkan polemik perkauman dalam tindakan penguatkuasaan terhadap mat rempit serta bengkel-bengkel motosikal yang didapati terlibat dengan pengubahsuaian motosikal bagi aktiviti lumba haram.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, tindakan penguatkuasaan dan pencegahan aktiviti lumba haram itu dijalankan berdasarkan risikan dan siasatan yang telah dijalankan oleh polis.

“Kita minta orang ramai jangan libatkan polis dengan isu perkauman dengan menyatakan di media-media sosial polis hanya tangkap orang dan serbu bengkel Melayu sahaja.

“Tindakan terhadap mat rempit dan bengkel-bengkel ini bukannya satu tindakan penguatkuasaan secara terpilih, ia berdasarkan maklumat dan risikan yang dikeluarkan oleh pelumba sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan mesyuarat mengenai perancangan strategi memerangi lumba haram peringkat Kontinjen Pulau Pinang bersama 13 jabatan dan agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sebagainya di IPD Timur Laut.

Menurut Mohd. Shuhaily, tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti lumba haram itu tidak ada kena mengena dengan mana-mana kaum.

“Majoriti pelumba adalah orang Melayu, itu adalah kenyataan, bukan kena-mengena dengan polemik kaum.

“Berdasarkan statistik dari Januari hingga Ogos lalu, ada juga empat orang Cina ditahan kerana terlibat dengan aktiviti ini, jumlah mereka adalah kecil,” katanya.

Tambahnya, mana-mana pemilik bengkel yang tidak terlibat dengan  pengubahsuaian motosikal untuk aktiviti lumba haram tidak perlu bimbang dengan operasi yang dijalankan pihak berkuasa.

Dalam pada itu katanya, bagi mengekang aktiviti lumba haram di Pulau Pinang, polis telah menubuhkan jawatankuasa kerja pencegahan dan penguatkuasaan bersama jabatan dan agensi-agensi lain.

“Jawatankuasa kerja ini dipengerusikan oleh PDRM serta JPJ dan bagi jawatankuasa kerja pencegahan ia dianggotai oleh agensi serta jabatan antaranya Jabatan Pendidikan dan Jabatan Perpaduan Negeri, Universiti Sains Malaysia (USM), Pejabat Mufti dan sebagainya.

“Bagi penguatkuasaan pula ia dianggotai oleh JPJ, PBT, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan sebagainya yang mana tujuan utamanya adalah memastikan aktiviti lumba haram dapat dibanteras di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya