PARIS: Sebuah beg tangan kulit unik yang dihasilkan daripada sel dinosaur Tyrannosaurus rex atau T-Rex gagal dijual pada Khamis. Ia berlaku selepas nilai bidaan yang diterima adalah jauh lebih rendah daripada harga yang dijangkakan.
Firma Lelongan Giquello sebelum ini menyasarkan barangan hanya satu dalam dunia itu mampu mencecah nilai jualan melebihi A$500,000 (RM2 juta).
Bagaimanapun, Dewan Lelongan Drouot yang menjadi lokasi jualan tersebut mendedahkan bahawa angka bidaan yang diterima hampir tidak mencecah AS$150,000 (RM609,258).
Beg tangan tersebut yang mula diperkenalkan kepada umum pada musim bunga lalu di Amsterdam, Belanda.
Ia dihasilkan daripada kesan kolagen yang diambil daripada tulang paha T-Rex yang ditemukan di Montana, Amerika Syarikat (AS), kira-kira 25 tahun lalu.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah membangunkan teknik bioteknologi yang membolehkan kami mengarahkan kultur sel untuk menghasilkan kulit tulen T-Rex di dalam makmal,” kata pakar paleontologi yang dikaitkan dengan jualan itu, Iacopo Briano kepada AFP baru-baru ini.
Beliau turut menarik perhatian bahawa bahan berkenaan amat berbeza daripada kulit vegan yang sebahagian besarnya diperbuat daripada bahan plastik. – AFP










