Remaja putus tangan akibat letupan selepas ambil bom tangan polis - Utusan Malaysia

Remaja putus tangan akibat letupan selepas ambil bom tangan polis

SEJUMLAH pelajar menyertai tunjuk perasaan di depan sebuah sekolah di Paris. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun kehilangan sebelah tangannya pada Isnin dalam siri terbaharu protes pelajar sekolah menengah di Perancis yang tercetus menjadi pertempuran dengan polis dengan lebih 200 pelajar cedera dalam keganasan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Protes berhubung isu kerosakan prasarana sekolah, masalah kesesakan bilik darjah dan kekurangan guru yang bermula sejak minggu lalu dengan pantas bertukar menjadi ganas. Keganasan baharu dilaporkan berlaku berhampiran Sekolah Tinggi Auguste Behal di Lens, utara Perancis.

Remaja berusia 15 tahun itu kehilangan tangannya di bandar Lens di utara Perancis selepas dia mengambil bom tangan jenis bola kejut yang ditembak polis rusuhan sebelum ia meletup, menurut sumber kesatuan polis.

Rakaman video di lokasi kejadian menunjukkan beberapa individu cuba memberikan bantuan awal kepada remaja berkenaan yang terbaring di atas siar kaki. 

Tangan kirinya kelihatan hancur dan hanya meninggalkan kesan tunggul berdarah.

Jeritan orang ramai yang panik jelas kedengaran dalam rakaman berkenaan sebelum remaja itu dilihat berjalan meninggalkan lokasi secara perlahan-lahan.

Laporan lain mendakwa mangsa berkemungkinan kehilangan lengan hingga ke paras siku tetapi perkara itu masih belum disahkan secara rasmi.

Insiden cemas itu berlaku berikutan tindakan kumpulan perusuh haluan kiri ekstrem yang bertindak membakar pintu masuk sebuah sekolah di Paris, hingga menyebabkan guru-guru dan para pelajar terperangkap di dalam bangunan semasa protes besar-besaran itu berlaku.

Rakaman dari di luar Sekolah Tinggi Vauquelin di Paris menunjukkan kumpulan perusuh melancarkan aksi ganas dengan membakar laluan masuk utama sekolah berkenaan.

Menerusi cermin yang pecah, kelihatan api menjilat pintu hadapan sekolah yang berpunca daripada sekatan yang dibina perusuh.

Beberapa saat kemudian, dua lelaki yang memegang alat pemadam api dilihat cuba memadamkan kebakaran tersebut dari dalam bangunan tetapi usaha mereka gagal.

Keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila api terus marak dan menjulang tinggi, manakala kumpulan perusuh remaja kelihatan terus melemparkan pelbagai objek ke dalam sekatan bagi menyemarakkan lagi kebakaran.

Polis dan anggota bomba segera memadamkan kebakaran itu, manakala sekolah berkenaan dikosongkan dan sesi persekolahan digantung

Lebih 500 daripada 3,700 sekolah menengah di Perancis ditutup sepenuhnya atau sebahagiannya pada Isnin, manakala demonstrasi lebih besar yang digelar ‘Act III’  oleh sebuah kesatuan pelajar sekolah menengah dijangka berlangsung pada Selasa, ketika seruan di media sosial semakin meningkat untuk mengadakan protes. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN