fbpx

Lihat Ahmad Zahid sebagai penjawat awam – Pendakwa raya

AHMAD Zahid Hamidi hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk meneruskan hujahan akhir peringkat pendakwaan kes rasuahnya, di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM: Timbalan Pendakwa Raya menggesa Mahkamah Tinggi tidak melihat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai ahli politik dalam pendakwaannya menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB).

Sebaliknya, beliau perlu dilihat sebagai penjawat awam iaitu seorang menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika itu yang mana UKSB mempunyai kontrak dengannya untuk melaksanakan pengurusan Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan Pusat Perkhidmatan Setempat (OSC) di China.

Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, walaupun Ahmad Zahid sebagai ahli politik, beliau menjadi menteri ketika itu dan itu tidak sepatutnya membenarkan beliau menerima sumbangan politik terutama daripada syarikat yang mempunyai kaitan portfolionya.

“Peguam mencadangkan tidak mengapa bagi seorang penjawat awam menerima sumbangan selagi dikatakan sebagai sumbangan politik. Sumbangan politik tidak menyalahi undang-undang.

“Tetapi lihat beliau (Ahmad Zahid) sebagai penjawat awam. Beliau mungkin ahli politik, tetapi ketika itu beliau adalah seorang menteri. Gajinya dibayar oleh kerajaan. Beliau dibayar (gaji) untuk berkhidmat kepada rakyat, bukannya meminta sumbangan tunai setiap bulan,”  katanya kepada Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa.

Justeru, beliau menegaskan kes itu wujud prima facie berdasarkan Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang menyatakan ‘Barang siapa yang menjadi penjawat awam, menerima, mendapat atau bersetuju menerima atau mencuba mendapat untuk dirinya atau untuk seseorang lain, sesuatu benda yang berharga, dengan tiada atau suatu balasan…hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya’.

Oleh demikian, dalam hujahan akhir pihak pendakwaan, Raja Rozela menegaskan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu meminta tunai daripada UKSB dalam bentuk matawang Dolar Singapura.

Menurutnya, kenyataan saksi-saksi pendakwaan (SP) Harry Lee Vui Khiun (SP15) Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (SP16) dan David Tan Siong Sun (SP17) menunjukkan tertuduh menerima tunai dalam Dolar Singapura daripada UKSB.

“Dua saksi (SP16 dan SP17) bukan asing kepada tertuduh. Berdasarkan fakta, sejak Ahmad Zahid menjadi Menteri (Dalam Negeri) pada pertengahan Mei 2013, beliau berhubung dengan pengarah UKSB itu.

“Pertemuan secara berterusan antara mereka (yang tidak dinafikan saksi-saksi) memberi peluang kepada tertuduh untuk membuat permintaan tersebut,” katanya kepada Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa.

Bagaimanapun, beliau turut menegaskan walaupun Ahmad Zahid tidak meminta jumlah amaun secara spesifik, namun itu tidak penting. Malah, untuk tujuan apa sekali pun duit tersebut tidak penting.

Saksi-saksi tersebut dalam pemeriksaan balas oleh peguam sebelum ini mengakui wang tunai diminta oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu adalah sebagai sumbangan politik.

Kenyataan bekas Pengarah UKSB, Harry Lee dicatatkan dalam hujahan bertulis pasukan pendakwaan yang mengatakan makluman daripada David Tan pada pemahaman beliau adalah sumbangan politik.

Malah, beliau bersetuju sumbangan politik adalah dana politik dan menyatakan pendirian sama terhadap Ahmad Zahid yang meminta sebarang sumbangan.

Perbicaran bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang bermula pada 24 Mei 2021 dikendalikan Raja Rozela yang mengetuai pasukan pendakwaan bersama Wan Shaharudin, Abdul Malik, Thavani Balakrishnan dan Zander Lim. 

Sementara pasukan pembelaan pula diwakili Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd. Noh.

Ahmad Zahid dalam tujuh pertuduhan didakwa menerima sejumlah wang tunai S$1,150,000, RM3 juta, 15,500 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya. 

Dalam 33 pertuduhan lain berjumlah S$13.56 juta, beliau didakwa menerima wang tersebut daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya melanjutkan kontrak pengendali OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN. – UTUSAN

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN