Kesihatan Najib seumpama ‘bom jangka' - Muhammad Shafee - Utusan Malaysia

Kesihatan Najib seumpama ‘bom jangka’ – Muhammad Shafee

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang menjalani rawatan dan pemeriksaan di Wad 21, Hospital Kuala Lumpur tidak ubah seperti ‘bom jangka’.

Peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, ia berikutan masalah ulser dalam perut yang dihadapinya sejak sekian lama.

“Najib ada sejarah berkaitan ulser dan kira-kira tiga bulan lalu, keadaannya berada di tahap kritikal.

“Tahap hemoglobin (sel darah merah) Najib turun ke tahap sangat rendah dan keadaannya pada ketika itu seperti bom jangka. Pendarahan tersebut boleh menyebabkannya diserang angin ahmar.

“Pihak hospital sedang menjalankan beberapa ujian terhadap Najib untuk menentukan sama ada masalah tekanan darah yang dihadapinya mempunyai kaitan dengan masalah ulser ini,” kata peguam itu.

Muhammad Shafee berkata demikian sewaktu sebutan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah hampir RM2.3 bilion yang dihadapi Najib di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Hakim tersebut kemudian bertanyakan kepada Muhammad Shafee adakah perubahan jenis ubat bagi merawat tekanan darah tinggi Najib menjadi punca kepada masalah kesihatan yang dihadapi bekas Presiden UMNO itu.

“Ya. (Najib) diberikan ubat yang sama tetapi ada yang ubat ‘original’, ada yang generik. Ubat generik tidak begitu yang berkesan seperti yang ‘original’.

“Sekarang, Najib telah diberikan ubat yang ‘original’ dan tekanan darahnya dah mulai menurun tetapi masih belum berada di tahap yang memuaskan,” kata Muhammad Shafee.

Pada prosiding yang sama, Muhammad Shafee mengemukakan sijil cuti sakit Najib yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia dan ditandatangani oleh Pakar Perubatan Klinikal, Dr. Mohd. Fadhli Zil Ikram Karim.

Sijil tersebut menyatakan Najib tidak boleh menghadiri prosiding perbicaraan selama dua hari bermula hari ini. Sehubungan itu, perbicaraan kes itu akan bersambung 26 September ini.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib tidak mengemukakan sebarang bantahan memandangkan sijil sakit berkenaan dikeluarkan dan disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan.

Sementara itu, Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita selepas tamat prosiding memberitahu Najib dikatakan tidak seceria seperti sebelum ini semenjak dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan bagi masalah tekanan darah tingginya. 

Muhammad Shafee turut menyatakan ketika menemui Ahli Parlimen Pekan itu di Wad 21, HKL selepas menunggu hampir tiga jam, juga kelihatan tidak selesa.

“Beliau tidak kelihatan seperti biasa, tidak ceria seperti selalu. Beliau tak pucat tetapi (riak wajahnya) lebih kepada tidak selesa. Isnin lalu, keadaan lebih teruk. Mukanya merah seperti udang kena bakar,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini tiada sebarang petunjuk sama ada Najib akan dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Najib, 69, sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya