Kenaikan OPR beri alasan bank ambil untung lebih

Kenaikan OPR beri alasan bank ambil untung lebih

opr
BARJOYAI BARDAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan kali ketiga Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahun ini dengan yang terbaharu diumumkan kelmarin hanya memberi ruang kepada institusi perbankan untuk membuat keuntungan lebih banyak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai menjelaskan, kenaikan sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus itu secara realitinya masih lagi berada pada tahap yang rendah berbanding kadar asas pinjaman (BLR) yang sentiasa meningkat jauh lebih tinggi.

Justeru, katanya, peningkatan BLR yang tidak selari dengan kenaikan OPR itu membolehkan institusi perbankan mengambil untung lebih dengan kenaikan OPR.

“Semasa OPR 1.75 peratus, BLR adalah 5.4 peratus, apabila OPR 2 peratus BLR adalah 5.65 peratus manakala OPR 2.25 peratus BLR adalah 5.9 peratus. Jadi OPR cuma naik 25 mata asas tetapi BLR naik lebih daripada 25 mata asas.

“Masalah di Malaysia, kadar faedah naik, maka kadar pinjaman akan naik dan pelanggan yang beli rumah perlu meningkatkan ansuran bulanan. Contohnya, kenaikan kadar 50 peratus mata asas menyebabkan bayaran kenaikan lebih RM100 sekiranya meminjam RM200,000, ini merupakan satu bebanan.

“Mungkin bank katakan bahawa penentuan kadar mengikut polisi bank yang bukan saja mengambil kira OPR, tetapi risiko dan persekitaran. Kenaikan OPR cuma menjadi alasan untuk bank menaikkan kadar faedah lebih tinggi.

“Jadi keuntungan kepada bank mungkin perlu ditonjolkan supaya pelanggan tahu bahawa institusi bank cuma mementingkan kepentingan mereka saja. OPR naik lagi bagus sebab boleh menaikkan kadar BLR,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas, peningkatan kali ketiga sejak Mei dan Julai lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus.

Susulan peningkatan itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

Menurut Barjoyai, peningkatan OPR itu bagaimanapun dijangka tidak memberi kesan dalam menstabilkan ekonomi negara terutamanya dalam tempoh jangka masa pendek.

Katanya, ini kerana kenaikan cuma sejumlah 25 mata asas itu agak lambat berbanding kenaikan 50 mata asas di Amerika Syarikat (AS) yang memberi persepsi baik kepada pelabur.

“Di Malaysia susah untuk lihat kesan baiknya terutama nilai mata wang kita yang bersandar pada dolar Amerika kerana apabila tiada kesan boleh dilihat apabila kenaikan jauh dari USD.

“Jadi walaupun matlamat kenaikan OPR adalah mengurangkan inflasi, tetapi bukan dalam jangka pendek. Mungkin juga kenaikan itu cuba memperbaiki kadar pertumbuhan ringgit, tetapi tak ada kesan sebab AS lakukan kenaikan kadar lebih deras,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, kenaikan kadar tersebut juga bagi mengelakkan Malaysia jauh ketinggalan daripada negara luar.

Katanya, ini kerana kadar OPR yang jauh ketinggalan itu akan dilihat sangat berbeza dan boleh menyukarkan penilaian kewangan.

“Apabila AS sudah naikkan kadar faedah kepada 50 mata asas setiap kali peningkatan berbanding 25 mata asas di negara kita, AS menyasarkan maksimum kenaikan sehingga 3.6 peratus dan 3 peratus bagi Malaysia, maka kita mempunyai arah sama, tetapi cuma agak longgar.

“Malah, kalau kita banding kadar dengan negara lain seluruh dunia, kita akan lihat kadar kita jauh lebih rendah berbanding negara dunia seperti Australia (3.4 peratus) Bahrain (5.5 peratus) Mesir (14 peratus), Indonesia (7 peratus), Myanmar (9.5 peratus), Turki (16 peratus) dan Singapura (2.9 peratus),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN