PUTRAJAYA: Kelulusan khas kewarganegaraan kepada tujuh pemain naturalisasi bola sepak Malaysia didapati dibuat dalam tempoh yang amat singkat dan secara tidak teratur.
Kesalahan itu berdasarkan hasil siasatan pihak Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) melalui pasukan petugas khas (PPK) yang ditubuhkan untuk menyiasat berdasarkan aduan yang diterima berhubung kes itu.
Menurut EAIC, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri dalam mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan secara penaturalisasian menurut peruntukan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, MDN selanjutnya menjalankan kuasa dan budi bicara dengan memberi kelulusan khas mengambil kira sumbangan pemohon dalam sukan bola sepak yang boleh mengharumkan nama negara menurut Perkara 19(2) dibaca bersama seksyen 20(1)(e) Bahagian lll Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.
“Peruntukan tersebut memberi kuasa budi bicara kepada Menteri Dalam Negeri atas sebab-sebab yang ditetapkan secara am atau secara khas oleh Menteri untuk menghitung tempoh kemastautinan seseorang itu tidak berada di dalam Persekutuan boleh dianggap bermastautin di Malaysia.
“Namun PPK EAIC mendapati bahawa pertimbangan kepada syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi memperoleh kelulusan khas telah dibuat dalam tempoh yang amat singkat dan secara tidak teratur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
EAIC berkata, siasatan turut mendapati, terdapat ketidakaturan dalam proses pengeluaran Permit Masuk melibatkan proses temuduga dan tapisan keselamatan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kepada pemain itu.
Katanya, terdapat juga isu berhubung pengendalian tapisan keselamatan oleh JIM dan ujian Pengetahuan Bahasa Melayu (UPBM) oleh JPN bagi tujuan kelulusan kewarganegaraan.
Pada masa sama, katanya, terdapat ketidakpatuhan berkenaan pengesahan pelepasan kewarganegaraan negara asal daripada pihak berkuasa negara asal pemain itu.
“Terdapat ketidakpatuhan berkenaan penyerahan pasport negara asal oleh Pemain naturalisasi itu kepada JIM,” katanya.
Sehubungan itu, EAIC mengesyorkan JPN dan KDN menyemak semula keseluruhan proses dan dokumen-dokumen kewarganegaraan melalui penaturalisasian yang telah diberikan kepada tujuh pemain berkenaan di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, ini memandangkan dapatan EAIC menunjukkan bahawa terdapat ketidakaturan tersebut.
Katanya, satu garis panduan perlu diwujudkan dalam menjalankan kuasa budi bicara di bawah undang-undang dengan mengambil kira peruntukan asas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Langkah ini dengan menitikberatkan tempoh kemastautinan dalam negara sebagai satu asas kewarganegaraan diperakukan dan faktor penting juga dalam mempertimbangkan kelulusan untuk diberikan atas dasar keadaan khas.
“JPN dan KDN mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus berkenaan pemberian taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Persekutuan.
“JPN dan KDN menyediakan satu SOP khusus berkenaan pelepasan kewarganegaraan asal oleh warganegara asing yang telah memperoleh taraf kewarganegaraan Malaysia,” katanya.
EAIC berkata, memandangkan Perlembagaan Persekutuan tidak mengiktiraf dwi-kewarganegaraan, JPN perlu menetapkan satu tempoh yang mewajibkan pelepasan kewarganegaraan negara asal dilakukan dan hukuman sekiranya gagal untuk menyerahkan bukti pelepasan kewarganegaraan tersebut.
Katanya, JPN mewujudkan garis panduan berkenaan dengan penggunaan kuasa budi bicara oleh Pendaftar Besar khususnya bagi pengeluaran sijil lahir di bawah seksyen 10A Akta 299.
Ini dengan mengambil kira kemasukan peruntukan ini di bawah Akta 299 adalah bertujuan untuk mengadakan peruntukan yang jelas berhubungan dengan kuasa Pendaftar Besar untuk mendaftarkan mana-mana kelahiran.
“Kuasa budi bicara ini hendaklah digunakan hanya setelah Pendaftar Besar benar-benar berpuas hati kelahiran telah berlaku berdasarkan keterangan yang dikemukakan iaitu setelah segala proses usaha wajar (due diligence) telah dilaksanakan.
“JIM dan JPN bersama PDRM mewujudkan SOP khusus berkenaan tatacara pengendalian tapisan keselamatan yang ketat dan menyeluruh bagi tujuan kelulusan Permit Masuk dan kewarganegaraan,” katanya.
Dalam pada itu, EAIC berpandangan pemerolehan kewarganegaraan secara penaturalisasian adalah satu perkara yang melibatkan kepentingan dan keselamatan negara.
Oleh itu, katanya, SOP yang berkuat kuasa perlu dipantau untuk dipatuhi secara ketat oleh JIM dan JPN.
“Laporan Dapatan Siasatan EAIC ini telah diserahkan kepada KDN, JIM dan JPN untuk tindakan lanjut.
“PPK EAIC juga mengambil maklum bahawa laporan-laporan polis telah dibuat melibatkan isu pemalsuan dokumen yang telah diputuskan palsu oleh Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).
“Sehubungan itu, adalah wajar perkara ini dijalankan penyiasatan secara menyeluruh oleh agensi yang berkenaan dan selanjutnya dirujuk kepada pihak yang berkenaan memandangkan isu pemalsuan dokumen ini adalah di luar bidang kuasa EAIC di bawah Akta 700,” katanya. – UTUSAN










