KUALA TERENGGANU: Seramai 60,000 bakal jemaah haji bagi musim 1448H dan 1449H (2027 dan 2028) menerima peringatan awal daripada Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan emel sebagai persediaan menunaikan ibadah berkenaan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, inisiatif itu melibatkan kira-kira 30,000 bakal jemaah bagi setiap kohort sekali gus memberi tempoh lebih awal kepada mereka membuat persiapan dari segi kewangan, kesihatan dan ilmu ibadah.
Katanya, pendekatan tersebut bertujuan memastikan bakal jemaah lebih bersedia apabila tiba giliran menunaikan haji.
“Kita menghantar peringatan kepada dua kohort iaitu bagi musim haji 2027 dan 2028. Setiap kohort melibatkan kira-kira 30,000 orang menjadikan keseluruhan sekitar 60,000 bakal jemaah.
“Kita mahu mereka membuat persediaan lebih awal, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi menjaga kesihatan dengan menjalani pemeriksaan kesihatan, mengamalkan gaya hidup sihat serta memperbanyak aktiviti berjalan sebagai latihan fizikal,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Literasi Kewangan TH Wilayah Timur di sini, hari ini.
Mengulas keberkesanan penggunaan SMS dan emel, Mustakim berkata, maklum balas yang diterima setakat ini sangat positif apabila ramai bakal jemaah memberi reaksi baik terhadap inisiatif tersebut.
Katanya, selain SMS dan emel, TH turut menggunakan pelbagai saluran komunikasi termasuk media massa serta media sosial bagi memastikan maklumat sampai kepada bakal jemaah.
“Respons yang kita terima sangat menggalakkan. Ramai yang bercakap mengenainya dalam media sosial dan kita berharap pendekatan ini terus diperluas pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata, program peringatan awal itu sebenarnya diperkenal tahun lalu namun pelaksanaannya kali ini lebih awal dan tersusun apabila notis dihantar sebaik sahaja berakhir musim haji tahun semasa iaitu pada 1 Julai lalu
Sementara itu, beliau berkata, TH masih mengekalkan syarat bakal jemaah perlu mempunyai simpanan minimum RM15,000 dalam akaun TH sebelum ditawarkan mengerjakan haji.
Katanya, syarat itu yang diperkenal sejak tahun lalu bertujuan memastikan bakal jemaah benar-benar bersedia dari segi kewangan dan mengelakkan tekanan untuk mendapatkan wang dalam tempoh singkat.
“Kita mahu masyarakat membudayakan amalan menabung sedikit demi sedikit. Apabila tiba giliran nanti, mereka tidak perlu berdepan tekanan untuk menyediakan wang dalam jumlah yang besar,” katanya.
Mustaqim berkata, bakal jemaah juga digalakkan mengikuti Kursus Asas Haji yang dijadual bermula pada 25 September ini bagi meningkatkan kefahaman mengenai ibadah tersebut.
“Kursus Asas Haji bukan hanya terbuka kepada mereka yang bakal dipanggil menunaikan haji, malah kepada semua pendeposit dan umat Islam yang ingin menimba ilmu. Kita mahu apabila berada di Tanah Suci nanti, jemaah Malaysia benar-benar bersedia, tenang dan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, TH masih menunggu pengumuman rasmi Kerajaan Arab Saudi berhubung sebarang peraturan baharu bagi musim haji akan datang.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya dimaklumkan bahawa Pakej D tidak lagi ditawarkan oleh kerajaan Arab Saudi.
“Walaupun begitu, kita telah bersedia kerana musim lalu kemudahan yang disediakan kepada jemaah Malaysia sebenarnya telah dinaik taraf ke tahap Pakej C walaupun mereka membayar pada kadar Pakej D. Kita sentiasa berusaha memastikan kebajikan dan keselesaan jemaah haji Malaysia terus dipertingkat,” katanya. – UTUSAN










