PASIR PUTEH : Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi membangunkan Projek Pendidikan Pertanian (PPP) di sekolah terpilih mulai tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, sebanyak 20 buah sekolah menerima peruntukan berjumlah RM10,000 hingga RM30,000 berdasarkan keperluan projek yang diusahakan di persekitaran sekolah masing-masing.
Menurutnya, PPP itu dilihat mampu menjana pendapatan kepada sekolah selain hasilnya boleh digunakan sebagai bahan sebenar alat bantu belajar (ABB) dalam kalangan pelajar.
“Projek penanaman, pemeliharaan cendawan tiram, ternakan kelulut dan lain-lain boleh digunakan sebagai ABB yang mungkin sesuai untuk mata pelajaran pelajaran seni visual, sains, reka bentuk dan teknologi.
“Proses pengajaran dan pembelajaran mampu lebih praktikal dengan menggunakan bahan tersebut. Ia juga dapat memupuk pelajar untuk menghargai sektor pertanian yang berupaya menjana pendapatan sekiranya diusahakan secara sistematik dan berteknologi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis PPP di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ismail di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu memberitahu, Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh (Perempuan) sudah melaksanakan penanaman pokok kelapa, durian kunyit, nanas dan ternakan kelulut dengan peruntukan RM30,000 malah sudah mampu menuai hasil daripada projek itu.
Katanya, sekolah yang menerima peruntukan yang disediakan turut mendapat khidmat nasihat dan kepakaran pegawai pertanian dari Pejabat Pertanian yang berdekatan.
“Projek l sama telah dilaksanakan di 20 buah pondok dan lima pusat tahfiz di negeri ini sejak tiga tahun lalu di bawah program Gerakan Pertanian al-Falah Pondok Kelantan dengan peruntukan yang sama setiap tahun.
“Program itu berjaya projek menghasilkan ternakan rusa, lembu, kuda, perikanan darat dan pelbagai projek penanaman yang berdaya maju dengan pasaran tempatan,” ujarnya.- UTUSAN










